Tiket Malaysia-Singapura mula dijual hari ini

Tuesday, July 26, 2011

TIKET untuk perlawanan kedua pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 Zon Asia antara Malaysia dan Singapura dijual mulai pukul 9 pagi ini hingga hari perlawanan pada Khamis ini.

Perlawanan dijadual bermula pukul 8.45 malam di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

Menurut kenyataan laman sesawang Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam, tiket bagi menyaksikan pertembungan dua negara jiran itu juga, boleh didapati di Pintu Utama, Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Pintu A, Stadium Shah Alam yang mula dijual hari ini hingga 27 Julai dari 9 hingga 7 malam.

Sementara penjualan dan penebusan tiket dibeli secara dalam talian, boleh dibuat di Pintu Kuning, Stadium Nasional Bukit Jalil hingga hari perlawanan.

Tiket terbahagi kepada tiga kategori iaitu RM50 untuk tempat duduk utama (grand stand), RM30 (terbuka) dan RM5 untuk kanak-kanak bawah 12 tahun.

Peminat yang ingin membeli tiket secara dalam talian boleh berbuat demikian melalui laman sesawang www.tickethotline.com.my 


(Sumber: http://www.sinarharian.com.my/)