Aquilani mungkin kembali beraksi di Serie A

Tuesday, July 26, 2011

LIVERPOOL - Alberto Aquilani mungkin kembali ke Serie A setelah Fiorentina memohon untuk meminjam pemain tengah Liverpool itu bagi tempoh semusim.

Perancang utama Itali itu baru-baru ini dipuji oleh pemilik Liverpool, John W Henry selepas persembahan cemerlangnya ketika mencatat kemenangan 6-3 ke atas Malaysia pada aksi persahabatan di Kuala Lumpur.

Namun, ia tidak membawa sebarang makna kerana The Reds mempunyai lambakan pemain tengah.
Aquilani ke Florence untuk menghadiri rundingan, namun ejen kepada pemain itu, Franco Zavaglia menegaskan masih tiada keputusan dicapai setakat ini.

"Aquilani masih pemain Liverpool. Namun, kami perlu memahami apakah rancangan di Fiorentina dan kami berunding dengan mereka.

"Kami akan menilai tawaran tersebut. Saya tidak pasti sama ada persetujuan sudah dicapai atau tidak antara kedua-dua kelab," katanya.

Aquilani yang gagal menyinar sejak menyertai Liverpool pada harga 20 juta pound (RM100 juta) dua musim lalu, kembali ke Anfield selepas menghabiskan tempoh semusim bersama Juventus.

David Ngog mungkin mengikut jejak Aquilani meninggalkan Anfield selepas Bolton dikatakan ada menghubungi Liverpool dan bertanyakan mengenai pemain Perancis itu. - AGENSI


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)