Gervinho buat Wenger senyum

Monday, July 25, 2011

COLOGNE - Arsene Wenger akhirnya mempunyai alasan untuk tersenyum selepas pemain baru, Gervinho meledak dua gol pada penampilan sulungnya, membantu Arsenal menumpaskan Cologne 2-1 pada aksi persahabatan di Rhein-Energie Stadion, kelmarin.

Wenger yang dibelenggu spekulasi kemungkinan Samir Nasri dan Cesc Fabregas meninggalkan Emirates, menarik nafas lega selepas menyaksikan penyerang kelahiran Ivory Coast yang baru dibeli dari Lille itu menyinar menerusi dua gol dalam tempoh sembilan minit.

Beraksi pada posisi kiri dalam rangkaian tiga penyerang, pemain bernilai 11 juta pound (RM55 juta) itu tidak menunggu lama dan berjaya membuka jaringan hanya selepas tujuh minit beraksi.

Jack Wilshere menjadi arkitek gol tersebut dengan hantaran cantik sebelum ia disempurnakan rakan sepasukan barunya, Gervinho dengan sepakan lambung melepasi penjaga gol lawan Michael Rensing.

Gervinho juga membuktikan dia bukan saja berbisa di hadapan gawang, malah berupaya megerakan gol dan ia dibuktikan dalam perlawanan itu apabila umpanannya kepada Thomas Vermaelen hampir menghasilkan sesuatu.

Dia kemudiannya menjaringkan gol kedua setelah mudah menolak masuk hantaran lintang Theo Walcott.

Gervinho dikeluarkan hanya selepas setengah jam permainan, sebagai langkah mengelakkan dia dari mengalami kecederaan dan digantikan oleh penyerang muda Jepun, Ryo Miyaichi. - AGENSI


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)