Peru ketiga terbaik

Monday, July 25, 2011

LA PLATA, Argentina - Paolo Guerrero meledak hatrik bagi membantu Peru mencatat kemenangan 4-1 ke atas Venezuela pada aksi penentuan tempat ketiga pada kempen Copa Amerika 2011 awal pagi semalam.

Kemenangan itu turut menyaksikan Peru berjaya menaiki podium buat julung-julung kalinya dalam tempoh 28 tahun.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Ciudad de La Plata itu, William Chiroque membuka tirai jaringan pada minit ke-41 sebelum Guerrero meledak gol kedua minit ke-63.

Tersentak dengan dua gol awal Peru, Venezuela kembali bangkit apabila merapatkan jurang gol menerusi jaringan yang dilakukan oleh Juan Fernando Arango pada minit ke-77.

Begitupun, penguasaan Peru ternyata sukar untuk dibendung apabila Guerrero membuktikan sentuhan penyudahnya selepas menjaringkan dua lagi gol pada minit ke-89 dan 90.

"Kami (Peru) sangat gembira dapat mengakhiri kempen Copa Amerika kali ini di tempat ketiga.

"Kami semua bekerja keras bagi melakarkan kejayaan ini dan kami tahu kami mampu untuk melakukannya," kata Guerrero.

Lebih manis, kejayaan Guerrero mencipta hatrik pada perlawanan tersebut telah menyaksikan dia muncul selaku penjaring terbanyak kejohanan dengan merekodkan lima gol.

Namun, bagi Guerrero pencapaian yang dilakarkan secara individu adalah perkara kedua kerana apa yang lebih penting adalah kejayaan secara berpasukan.

"Saya beraksi untuk pasukan dan itu adalah lebih penting untuk saya.

"Kami semua kecewa kerana tewas ditangan Uruguay pada aksi separuh akhir kerana kami tahu kami mampu untuk melangkah lebih jauh lagi namun mengakhiri saingan di tempat ketiga cukup bermakna buat kami," jelas Guerrero.

Jurulatih Peru, Sergio Markarian berkata, kejayaan mengakhiri kempen Copa Amerika kali ini di tempat ketiga pastinya akan menyuntik semangat barisan pemainnya dan sekaligus melupakan kekecewaan yang dialami mereka pada saingan kelayakan Piala Dunia yang lalu. - AFP


(Sumber: http://www.kosmo.com.my/)