Kapten Singapura minta maaf tunjuk isyarat 'tewas'

Wednesday, July 27, 2011

Oleh FERZALFIE FAUZI

BANGI - Ketua pasukan Singapura, Mohammad Shahril Ishak memohon maaf di atas perbuatannya yang menunjukkan simbol 'L' iaitu isyarat tewas kepada penyokong Malaysia ketika mengalahkan Harimau Malaya 5-3 pada perlawanan di Stadium Jalan Besar republik itu, Sabtu lalu.

Menurutnya, perbuatannya itu hanya reaksi spontan dan tidak ada niat apa-apa.

"Tujuan saya hanyalah satu, jika beraksi di atas padang iaitu bermain bola sepak siapa sahaja boleh memberi pandangan," kata pemain tengah berusia 27 tahun itu.

Shahril menunjukkan simbol 'L' kepada penyokong Malaysia sebaik sahaja menjaringkan gol keempat pada perlawanan pertama pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia tempoh hari.

Sementara itu mengenai hubungannya dengan penyerang Malaysia, Safee Sali di Indonesia, Shahril yang beraksi bersama kelab Liga Premier Indonesia (IPL), Medan Chiefs itu, mengakui menyanjungi kehebatan penyerang kelab Pelita Jaya itu.

Menurutnya, dia menganggap Safee sebagai sahabat di luar tetapi musuh di padang.

Mengenai pertembungan esok, Mohammad Shahril berkata, dia tidak gentar dengan sokongan padu penyokong tuan rumah yang bakal dihadapinya pemain Singapura.

Katanya, rakan sepasukannya mampu menyerap tekanan yang bakal dihadapi daripada hampir 80,000 penyokong Malaysia dan fokus kepada permainan di atas padang.

'Saya sudah biasa dengan keadaan penonton yang ramai ketika beraksi di Indonesia, cuma yang merisaukan saya ialah pemain muda tetapi saya mahu mereka memberi fokus seratus peratus di atas padang," katanya.

Jelasnya, jika rakan sepasukannya mampu memberi tumpuan di atas padang sudah tentu mereka dapat mencatatkan keputusan yang baik dan melayakkan diri ke pusingan seterusnya.


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)