Tevez bidas Ferguson

Tuesday, July 26, 2011

LONDON - Penyerang Manchester City, Carlos Tevez membidas Alex Ferguson dengan mendakwa dia tidak ditawarkan kontrak baru ketika di Manchester United kerana dia bercadang untuk bersara dalam tempoh empat tahun.

Tevez meninggalkan United dan menyertai City dalam perpindahan kontroversi pada 2009 dan Ferguson yang bersama United dalam siri jelajah di Amerika berkata, perpindahan Tevez diluluskan kerana pemain Argentina itu tidak bercadang untuk kekal lama dalam sukan bola sepak.

Ferguson berkata: "Ketika sesi perbincangan, Tevez memberitahu kami bahawa dia hanya akan bermain untuk empat tahun lagi. Jadi jika kami memberikan dia kontrak baru lima tahun sedangkan dia mahu bersara dalam masa empat tahun, tiada lagi nilai jualan semula buat kami."

Ulasan kenyataan pengurus United itu membawa kepada spekulasi terbaru mengenai Tevez mungkin akan bersara berbanding kembali ke City, jika dia tidak mendapat restu meninggalkan Eastlands.

Tevez mahu meninggalkan City selepas tidak gembira kerana keluarganya tidak dapat menyesuaikan diri di Manchester dan mereka mahu kembali ke Argentina.

Pemain berusia 27 tahun itu telah pun menyaksikan bagaimana potensi perpindahannya ke kelab Brazil, Corinthians tidak menjadi dan beberapa kelab dilihat sedia memenuhi gaji yang dihajati pemain itu.

Tevez enggan mengulas dakwaan Ferguson dan jurucakapnya berkata, pemain itu akan meneruskan karier lapan tahun lagi.

"Dia tidak pernah membincangkan soal persaraan dengan pengurusan Manchester United atau Ferguson.

"Sebaliknya Carlos merasakan dia masih berupaya untuk bermain lapan tahun lagi dan dia merasakan dia mampu menempuh tahun-tahun akan datang dalam keadaan baik," kata jurucakap Tevez. - AFP


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)