ARSENAL TERPAKSA BERTAHAN

Tuesday, March 8, 2011


MADRID - Kecederaan yang dialami Robin van Persie dan Theo Walcott mungkin memaksa Arsenal untuk fokus di bahagian pertahanan berbanding melakukan serangan apabila mereka berazam untuk menyingkirkan Barcelona dari Liga Juara-Juara hari ini.

Skuad Arsene Wenger bangkit dari ketinggalan apabila menang 2-1 pada perlawanan pertama pusingan 16 pasukan terakhir di Emirates, dengan Van Persie dan Andrei Arshavin menjaringkan gol pada lewat permainan untuk mengejutkan Barca.

Namun, sejak itu Arsenal mengharungi prestasi tidak menentu.

Kekalahan pada perlawanan akhir Piala Liga kepada Birmingham City menafikan hasrat untuk Gunners menamatkan kemarau kejuaraan.

Selepas mendapat keyakinan semula untuk memburu kejuaraan Liga Perdana, ekoran kekalahan Manchester United kepada Chelsea, Arsenal seri tanpa jaringan dengan Sunderland, Wenger berang apabila pasukannya gagal mengalahkan Sunderland.

Emosi pengurus itu juga tidak dibantu dengan kecederaan Jack Wilshere, yang kini dipantau untuk mengetahui nasibnya pada pertembungan hari ini.

"Wilshere mengalami masalah pergelangan kaki dan kami terpaksa menunggu sehingga esok untuk menilai dia semula,'' kata Wenger walaupun Wilshere berkata dia yakin dapat beraksi.

Cesc Fabregas tidak dapat beraksi dalam perlawanan menentang Sunderland akibat kecederaan pelipat lutut, namun Wenger optimis pemain itu dapat diturunkan hari ini.

Ketika ketiadaan penyerang Walcott dan Van Persie merupakan satu tamparan, Wenger percaya kecekapan pasukannya bertahan akan menjadi faktor penting.

Musim lalu, Arsenal dibelasah 1-4 pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Nou Camp, setelah seri 2-2 dalam perlawanan pertama, di mana Lionel Messi menjaringkan kesemua empat gol.

"Adalah penting untuk kami bertahan dengan baik kerana apabila anda berdepan pasukan yang memiliki permainan menyerang paling baik di dunia, anda mahu pertahanan terbaik anda dapat diturunkan.

"Kami mahu bertahan dan menyerang dengan baik. Kami bukan pasukan yang enggan melakukan serangan,'' kata Wenger.

Sementara itu, Barca telah bangkit daripada kekalahan di London dengan mencatat empat kemenangan berturut-turut dan kini di tangga teratas La Liga.

Gawang mereka tidak dibolosi dalam tiga perlawanan terakhir, namun mereka kehilangan gaya permainan yang dipamerkan ketika awal kempen dan perlu membuat rombakan di bahagian pertahanan apabila menentang Arsenal nanti.

Ketua pasukan, Carles Puyol belum pulih daripada kecederaan lutut dan dengan Gerard Pique yang digantung, jurulatih Pep Guardiola, yang mengalami kesakitan pada belakang badan, terpaksa menurunkan barisan pertahanan yang kurang dikenali. - Reuters


(Sumber http://www.utusan.com.my)