FERGUSON AKUI UNITED 'LEMAH'

Thursday, March 10, 2011


ENGLAND - Alex Ferguson mengakui pasukannya memang 'lemah' ketika kalah 1-3 kepada Liverpool dalam saingan Liga Perdana hujung minggu lalu dan pengurus Manchester United itu enggan memberikan alasan lain.

Untuk itu katanya, matlamat utama United kini adalah untuk menjarakkan kedudukan daripada Arsenal, yang ketika ini di tangga kedua liga.

"Tiada sebarang alasan yang dapat saya berikan kerana kalah Ahad lalu, Liverpool sememangnya layak menang.

"Memang saya rasa kecewa kerana kami tidak beraksi dengan baik pada perlawanan tersebut namun saya tetap berharap prestasi pasukan ini dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih baik,'' kata Ferguson.

Arsenal hanya tiga mata di belakang United, ketika skuad Ferguson perlu fokus untuk perlawanan Piala FA menentang Gunners esok.

"Musim ini tidak banyak beza berbanding musim lalu kerana ada pasukan yang berupaya meningkatkan prestasi mereka ke tahap terbaik seperti Manchester City dan Spurs, yang mampu memberikan kesukaran kepada Arsenal.

''Saya juga yakin Arsene Wenger dan para pemainnya akan mengatur perancangan untuk menghambat kedudukan kami sebagai pendahulu liga.

''Ini juga adalah salah satu cabaran yang terpaksa kami harungi untuk mendapatkan kejuaraan Liga Perdana,'' kata Ferguson. - Agensi


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)