Populariti Safee atasi Gonzales, Irfan

Sunday, March 6, 2011
Daripada Syed Riduan Ahmad di Jakarta

PENYERANG sensasi terbaru Pelita Jaya FC, Safee Sali buat pengurus dan jurulatih kelab Liga Super Indonesia (ISL) itu pening, bukan kerana persembahannya di atas padang tetapi disebabkan sambutan peminat yang tidak putus-putus ingin merakam gambar kenangan dengan penyerang negara itu.

Populariti Safee yang menjaringkan gol tunggal kemenangan dalam perlawanan pusingan kedua bertemu Sriwijaya FC kelmarin, bukan sekadar di atas padang ketika sesi latihan, malah turut berlarutan ketika menunaikan solat Jumaat di salah sebuah masjid di Karawang kelmarin hinggakan dia diserbu peminat ketika khatib sedang membacakan khutbah.

“Popularitinya kini boleh dikatakan mengatasi pemain lain seperti Cristian Gonzales dan Irfan Bachdim,” kata pengurus Pelita Jaya, Lalu Mara Satriawangsa. “Kadang-kala saya terpaksa menjadi seperti pengawal keselamatannya.

“Bagaimanapun, saya kagum dengan cara Safee menangani kerenah peminat. Dia sentiasa tersenyum dan sabar melayan mereka. Bagi saya kehadiran Safee bagai satu rahmat buat Pelita Jaya.”

Penjaring terbanyak Piala AFF Suzuki 2010 itu bukan saja menarik perhatian peminat bola sepak Indonesia, malah penaja juga mula tertarik untuk menjadi rakan penaja Pelita Jaya walaupun ketika ini kelab itu menghuni kelompok bawahan ISL.

Pada perlawanan pertama pusingan kedua menentang Sriwijaya di Stadium Singaperbangsa, Karawang kelmarin, Pelita Jaya juga menampilkan rakan penaja barunya, Recapital.

Recapital adalah antara syarikat kewangan terbesar di Indonesia, dan Lalu Mara berkata, kemasukan penaja baru itu semata-mata kerana populariti diraih Pelita Jaya selepas kehadiran Safee.

“Mungkin pada masa akan datang kita terpaksa mengadakan sesi khas untuk pemain terutama Safee bersama peminat,” kata jurulatih Miodrag Radovic. “Ini demi memastikan sesi latihan tidak terganggu.”


(Sumber: http://www.bharian.com.my/)