United tempang tanpa Nani

Friday, March 11, 2011
MANCHESTER - Manchester United bakal mengharungi perlawanan suku akhir Piala FA menentang Arsenal hari ini tanpa sayapnya, Nani, sekali gus menambah kepincangan pendahulu Liga Perdana England itu yang sudahpun kehilangan beberapa tonggak penting.

Nani mengalami kecederaan teruk di tulang kering ekoran terjahan keras pemain pertahanan Liverpool, Jamie Carragher ketika pasukan itu kalah 3-1 di Anfield dalam saingan liga, Ahad lalu.

Kecederaan tersebut bukan saja menyebabkan pemain antarabangsa Portugal itu terlepas aksi menentang Arsenal, malah tidak dapat diturunkan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah menentang Olympique Marseille, Selasa depan.

Nani menambah masalah kecederaan skuad bimbingan Alex Ferguson itu yang sudahpun kehilangan tonggak pertahanan, Rio Ferdinand serta dua pemain tengah, Park Ji-sung dan Antonio Valencia.

Ferguson bagaimanapun enggan melihat ketiadaan Nani sebagai musibah buat pasukannya, sebaliknya menegaskan, apa yang penting United kekal bersatu dan akan berdepan Arsenal sebagai sebuah pasukan yang kuat.

"Kami pernah mengalami pengalaman seperti ini dan mampu bangkit. Ini bukan kali pertama berlaku sudah beberapa kali.

"Anda tidak mungkin melalui satu musim di mana semuanya sentiasa cerah. Apabila anda berdepan detik buruk, maka anda kena berdepan dengannya dan bangkitt,'' tegas Ferguson.

Menurut Ferguson, apa yang melegakan, pemulihan Nani berjalan pantas meskipun dia terpaksa disisihkan daripada dua perlawanan penting.

"Bengkak di kakinya sudah semakin susut, itu berita baik tetapi saya tidak boleh memberitahu tarikh sebenar bila dia boleh kembali beraksi.

"Mujurlah, kami akan berehat dua minggu selepas ini untuk memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa bermula Sabtu depan, jadi dia pasti sedia beraksi sebaik liga disambung,'' ujar Ferguson lagi.

Arsenal akan turun ibarat 'singa lapar' hari ini selepas disingkirkan oleh Barcelona dalam saingan Liga Juara-Juara, Rabu lalu, malah masih kecewa dengan kekalahan kepada Birmingham pada final Piala Liga, dua minggu lalu. - Agensi


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)