SPURS ENGGAN JUMPA BARCA

Thursday, March 10, 2011
LONDON - Harry Redknapp memuji semangat juang pemain Tottenham ketika memastikan tempat ke suku akhir Liga Juara-Juara, semalam.

Namun bos Spurs itu merayu badan bola sepak Eropah UEFA: 'Jangan beri kami berdepan Barcelona!'

Permainan menarik pasukannya berjaya mempertahankan kelebihan satu gol daripada perlawanan pertama untuk menyingkirkan gergasi bola sepak Itali, Milan di White Hart Lane.

Sekurang-kurangnya mereka berjaya mara dengan agregat 1-0, lebih baik berbanding musuh setempat di utara London, Arsenal yang tersingkir kepada Barcelona di Sepanyol kelmarin.

Redknapp berkata: "Barcelona adalah pasukan yang sememangnya mahu anda elakkan. Mereka membuatkan pasukan seperti Arsenal, hampir tidak melawan.

"Saya rasa persembahan Barcelona tempoh hari adalah yang terbaik yang pernah saya saksikan. Mereka cukup menakjubkan.

"Bagi semua orang, untuk mengalahkan Barcelona adalah satu tugas yang amat sukar. Namun kami mahu mara sejauh yang boleh,''.

Bos Spurs itu akan tahu siapa akan menjadi lawan mereka pada suku akhir dalam undian Jumaat depan.

Mengenai perlawanan semalam, beliau menambah: "Malam ini adalah malam gemilang buat pemain, penyokong dan semua orang. Kami sangat gembira.

"Semua ini dicapai hasil kerja kuat. Anda sendiri lihat Milan adalah kelab yang hebat, memiliki tradisi yang hebat.

"Memang sukar apabila hanya memiliki kelebihan satu gol. Anda akan cuba mempertahankan kelebihan tersebut.

"Jika dua tahun lalu ada yang berkata bahawa selepas saya melatih semula pasukan ini yang menduduki tempat tercorot ketika itu saya mampu membawa pasukan ini ke suku akhir Liga Juara-Juara, anda harus katakan ia gila.

"Kini apa yang kami capai merupakan bonus. Amat menakjubkan kerana pemain berjaya melakukannya,''. - Agensi


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)