Percaturan siapa lebih kuat

Sunday, March 6, 2011

MANCHESTER, United Kingdom - Alex Ferguson memberitahu pemain Manchester United supaya mempamer perwatakan seperti juara untuk bekalan menentang Liverpool hari ini.

United masih mampu bertahan sebagai pendahulu Liga Perdana ketika ini meskipun tewas 1-2 kepada Chelsea pada perlawanan Selasa lalu sebelum Ferguson dikenakan tindakan oleh Persatuan Bola Sepak kerana berkelakuan kurang sopan.

Pertemuan hari ini akan menjadi satu perlawanan yang sengit bagi United pada musim ini yang mahu mempertahankan kedudukan teratas liga serta Liverpool yang akan berusaha memperbaiki kedudukan ketika ini.

‘‘Kelab ini perlu memperbaiki kelemahan yang ada untuk perlawanan menentang Liverpool dan ini adalah perlawanan yang bakal menentukan masa depan kami.

‘‘Keputusan yang diperolehi pada perlawanan Ahad ini mampu memulihkan kami untuk terus kekal sebagai pendahulu liga seandainya kami memperoleh kemenangan,’’ kata Ferguson.

Ketiadaan Nemanja Vidic akibat pengantungan dan dua pemain yang cedera iaitu Rio Ferdinand dan Jonny Evans membuatkan Ferguson semakin resah untuk merancang buat pertahanan United.

Bagaimanapun, pengurus United itu mengesahkan Wes Brown dan Chris Smalling akan berganding di pertahanan tengah.

Sementara itu, Pengurus Liverpool, Kenny Dalglish berazam akan melakukan yang terbaik pada perlawanan hari ini yang akan menjadi perlawanan pertama skuad The Reds menentang United di bawah bimbingan pengurus baru itu.

‘‘Setiap perlawanan amat penting kepada kami sebagai sebuah kelab bola sepak.

‘‘Seandainya anda mampu memperoleh kemenangan pada perlawanan itu ia pasti akan mengundang pelbagai reaksi positif termasuk terpapar di dada akhbar bahawa anda berupaya memperoleh keputusan cemerlang.

‘‘Semua yang pemain bola sepak akan bermain sehingga ke tahap yang tinggi dan perlawanan antara Liverpool menentang Manchester United akan menjadi satu perlawanan getir dengan semua pemain bakal mempamer aksi-aksi mereka tersendiri,’’ kata Dalglish. – AFP

(Sumber: http://www.utusan.com.my/)