Barcelona, Real siap sedia hadapi empat 'El Clasico'

Saturday, April 16, 2011

MADRID: Barcelona dan Real Madrid yang perseteruan sengit mereka bermula sejak 1902 akan kembali bertemu satu sama lain empat kali dalam tempoh 18 hari yang akan menentukan pencapaian mereka musim ini.


Peminat bola sepak seluruh dunia bakal menyaksikan empat pertemuan klasik ‘El Clasico’ yang boleh disifatkan perlawanan terbesar bola sepak membabitkan dua skuad terkaya dan kelab paling berjaya di Sepanyol bertarung bagi gelaran liga, Piala Raja dan mahkota Liga Juara-Juara.

Andai dilihat dari aspek sejarah, dibandingkan antara kedua-duanya, Real merekodkan lebih kejayaan, sembilan kali merangkul Piala Eropah berbanding hanya tiga dicatatkan Barcelona selain 31 gelaran liga berbanding 20 dimiliki Barcelona.

Perlawanan klasik yang ditunggu-tunggu itu dijadual berlangsung hari ini ketika mereka bertarung dalam perlawanan liga di Santiago Bernabeu. Barcelona sudah pun selesa dengan lapan mata mengatasi Real di tempat kedua, dan menjadi pilihan memenangi gelaran ketiga berturut-turut, lebih-lebih lagi selepas membelasah Real 5-0 dalam Clasico di Nou Camp, November lalu.

Jurulatih Real, Jose Mourinho tidak percaya keputusan perlawanan itu akan mencorakkan perlawanan seterusnya. “Kita perlu lihat setiap perlawanan secara berasingan, dan saya berpendapat apa yang berlaku dalam perlawanan pertama itu tidak akan mencorakkan perlawanan kedua, ketiga atau keempat.” - AFP 


(Sumber: http://www.bharian.com.my/)