Barca tumpu jumpa Real

Thursday, April 14, 2011

DONETSK, Ukraine - Barcelona menyingkirkan Shakhtar Donetsk daripada saingan Liga Juara-Juara tanpa perlu beraksi sepenuh tenaga, kerana lebih menumpukan kemungkinan pertembungan separuh akhir dengan musuh ketat Real Madrid.


Jaringan Lionel Messi pada babak akhir perlawanan memberikan Barca kemenangan 1-0 pada suku akhir kedua di Ukraine.

Keputusan itu memastikan Barca mara dengan agregat 6-1, yang meletakan juara 2009 itu ke separuh akhir buat kali keempat berturut-turut.

Kelab gergasi Sepanyol itu dijangka beraksi dalam empat perlawanan dalam tempoh 18 hari, termasuk aksi La Liga Sabtu ini di Bernabeu dan perlawanan akhir Piala Raja Sepanyol pada 20 April di Valencia.

Jurulatih Barca, Pep Guardiola sekali lagi akan bersemuka dengan rakan sejawatnya di Real, Jose Mourinho, bekas penolong pengurus di Barca yang menjadi 'jurutera' kemenangan Inter Milan ke atas kelab Catalan itu pada separuh akhir musim lalu, seterusnya mengemudi kelab Itali itu menjulang kejuaraan sebelum berpindah ke Real.

"Kami bersaing dengan kelab paling kuat dalam sukan bola sepak.

"Kedua-dua pasukan begitu hebat dan tekanan adalah sama di kedua-dua pihak. Kami harus berusaha kuat bagaimana untuk mengalahkan mereka,'' kata Guardiola.

Suasana perlawanan tidak lagi sehangat mana di Arena Donbass apabila pasukan tuan rumah menyedari adalah mustahil untuk mereka mengatasi kelicikan skuad Guardiola.

Ia adalah jaringan kesembilan Messi dalam Liga Juara-Juara, meletakan dia sebagai penjaring terbanyak dan rekod kelab dengan 48 gol dalam semua kejohanan, termasuk hatrik ketika menentang Sevilla pada Piala Super Ogos lalu, mengatasi jaringan musim lalu. - Reuters


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)