City sedia 'calar' MU

Saturday, April 16, 2011
Pertembungan dua pasukan berjiran hadir penuh dramatik


LONDON: Manchester City akan berusaha menjejaskan impian Manchester United ke treble kedua dalam sejarah hari ini ketika dua musuh tradisi itu bertembung di Wembley dalam separuh akhir Piala FA.

Pertembungan penuh menarik antara gergasi Liga Perdana itu dan jiran yang baru dilimpahi kekayaan, akan menyaksikan City berjuang untuk terus menghidupkan peluang realistik terakhir mereka bagi memenangi trofi musim ini.

 
Tetapi persiapan City disentak dengan pelbagai masalah - kekalahan besar kepada Liverpool, Isnin lalu, yang menyaksikan penyerang utama Carlos Tevez mengalami kecederaan sehingga beliau terpaksa disisihkan dari perlawanan hari ini.

Lebih membimbangkan pengurus City, Roberto Mancini adalah unsur-unsur perbalahan dalam bilik persalinan, dengan James Milner secara terang-terangan - dan luar dari perwatakannya - menunjukkan perasaan jelek ketika digantikan di Anfield.

Pertahanan United, Rio Ferdinand secara halus mengkritik tanda-tanda perpecahan dalam kem City, dengan berkata ia tidak sekali-kali diterima di Old Trafford di bawah Sir Alex Ferguson.

"Anda tidak akan melihat pemain keluar dengan menggeleng kepala atau menunjukkan rasa tidak puas hati atau mengeluh duduk di bangku simpanan kerana semua orang gembira berada di kelab ini dan mahu berada di sini," kata Ferdinand.
"Saat dan ketika anda menunjukkan sifat tidak puas hati seperti itu, pengurus tidak akan gembira dan akan menunjukkan siapa adalah ketua, dan itulah sebenarnya yang patut berlaku... ia adalah peraturan tidak bertulis." - AFP


(Sumber: http://www.bharian.com.my/)