Beckham belum buat keputusan

Thursday, April 14, 2011
LOS ANGELES: David Beckham belum membuat keputusan sama ada akan kembali beraksi di MLS untuk semusim lagi selepas kontrak lima tahunnya bersama Los Angeles Galaxy tamat penghujung musim ini.

Bekas kapten England itu berkata, dia masih mahu beraksi tahun depan tapi belum menetapkan sama ada beraksi di Amerika Utara. Dia juga tidak menolak kemungkinan kembali beraksi di Eropah.


Ketika ditanya mengenai kepulangannya ke MLS, Beckham berkata, terdapat kebarangkalian mengenainya, tapi bekas pemain bola Manchester United itu berkata dia masih belum menetapkan sebarang rancangan untuk tahun depan.

“Saya rasa, lebih penting menumpukan perhatian terhadap permainan tahun ini terlebih dulu,” katanya.

Dalam sesi temubual bulan lalu, Beckham memberi bayangan akan pulang ke Liga Perdana Inggeris.

“Ini adalah tahun terakhir saya di Amerika Syarikat tapi tiada siapa tahu apa bakal terjadi selepas itu,” katanya.

Beckham berkahwin dengan bekas penyanyi popular kumpulan Spice Girl, Victoria Beckham berkata, dia masih teruja dengan sukan bola sepak profesional walaupun bakal mencecah usia 36 tahun bulan depan.

“Saya berasa cergas dan sihat ketika bermain, malah bermain dengan baik. Oleh itu, saya perlu kekalkan senario ini dan berfikir mengenai rancangan masa depan hanya selepas beberapa bulan.

“Saya sukakan bola sepak seperti mana ketika berusia 21 tahun. Saya jaga diri dengan baik, maka belum ada lagi alasan untuk bersara,” katanya.

Beckham adalah pemain MLS yang menerima bayaran tertinggi setakat ini, iaitu AS$6.5 juta (RM19.6 juta) setahun. Dia yang pernah bermain dalam 115 perlawanan di England juga menetapkan sasaran untuk beraksi di Sukan Olimpik 2012 London.

“Saya mahu terbabit dalam Sukan Olimpik sebagai pemain. Tapi kita masih perlu tunggu dan lihat terlebih dulu kerana masih ada setahun untuk itu. Ketika ini saya hanya perlu menikmati baki perlawanan musim ini. Kami mempunyai lima lagi perlawanan,” katanya.

Galaxy mengintai kemenangan ketiga musim ini apabila berdepan Toronto FC di BMO Field, semalam. - AFP


(Sumber: http://www.hmetro.com.my/)