Scholes perlekeh kehebatan City

Saturday, April 16, 2011

MANCHESTER - Pemain veteran Manchester United, Paul Scholes memperlekehkan Manchester City menjelang pertembungan separuh akhir Piala FA hari ini, dengan mendakwa musuh setempat mereka itu tidak akan dianggap musuh utama selagi mereka belum memenangi sesuatu.


Sejak Eastlands diambil alih taikun Arab, Sheikh Mansour yang menyuntik sumber kewangan tidak terhad ke dalam kelab itu, rata-rata penyokong City dengan ghairahnya bercakap mengenai kemungkinan pasukan mereka mengatasi pencapaian United dan tidak lagi dibayangi kehebatan jirannya.

Scholes langsung tidak gentar dengan kebangkitan City sebaliknya menganggap pasukan itu sekadar 'jiran buat bising'.

Menurutnya, daripada mengendahkan omong kosong skuad bimbingan Roberto Mancini, lebih baik United memberi tumpuan mengekang kemaraan Chelsea dan Arsenal.

"Saya rasa City perlu menang sesuatu. Apabila mereka di tempat keempat, kelima atau mana-mana kedudukan, saya tidak fikir mereka diletakkan sebagai musuh utama.

"Musuh utama kami pastinya Arsenal dan Chelsea. City cuma musuh berdasarkan kedudukan lokasi mereka, begitu juga dengan Liverpool," kata Scholes, 36.

Daripada merapatkan jarak di antara kedua-dua pasukan Scholes berkata, jutaan pound Sheik Mansour sebaliknya menyuntik semangat United untuk memastikan mereka tidak diatasi City.

Kejayaan United pada pertembungan Manchester 'derby' mencerminkan penguasaan Red Devils, menyaksikan mereka menang enam, seri sekali dan tewas sekali sejak bilionair Abu Dhabi itu membeli City pada 2008.

"Pada 90-an, permusuhan tidak setegang sekarang kerana mereka tidak ada seperti mana yang dimiliki kini," tambahnya.

Sekalipun menunjukkan sedikit perkembangan, Scholes merasakan City masih kekurangan keyakinan yang ada pada United.

"Mereka pasti tertekan kerana hanya menang ke atas kami sekali lagipun ia merupakan perlawanan pusingan pertama dan kami menebusnya pada perlawanan timbal balik kemudian.

"Kami sering memenangi perlawanan 'derby' pada minit terakhir, saya pernah lakukannya, begitu juga dengan gol Michael Owen dan Wayne pada musim lalu.

"Wayne mengulanginya pada perlawanan liga tempoh hari dengan gol menakjubkan dan City pada hari tersebut sememangnya kurang bertuah.

"Demikian perbezaan yang wujud antara kedua-dua pasukan...Kami mempunyai kepercayaan tinggi mampu menewaskan sesiapa, tapi saya tidak merasakan City memilikinya," jelas pemain tengah itu.

Rooney tidak berpeluang menjadi hero pada perlawanan hari ini kerana menjalani penggantungan, namun Scholes menganggap ketiadaan Carlos Tevez adalah lebih dirasai City.

United membuktikan mereka mampu menang tanpa bintang penyerang terbabit, tetapi Scholes tidak percaya Edin Dzeko atau Mario Balotelli mampu menggantikan pemain Argentina itu.

"Tevez tanpa dinafikan adalah pemain paling penting mereka. Untuk kami, sekiranya tanpa Wayne, kami tetap boleh turunkan Dimitar Berbatov.

"Apa yang City boleh lakukan? Saya tak pasti. Dzeko belum menyesuaikan diri, mungkin mengambil masa sedikit," ujarnya.

Pertembungan hari ini mungkin 'derby' terakhir buat Scholes yang dibayangi persaraan selepas berakhir musim ini. - AGENSI


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)