Sembang Safee Sali: Walau jauh di perantauan Harimau Malaya tetap di hati

Saturday, April 16, 2011
ALHAMDULILLAH minggu yang baik, Rabu lalu seri di tempat lawan dan turut jaringkan gol tunggal pasukan. Kami bertemu Persela Lamongan yang berkesudahan seri.

Permainan yang baik namun dicemari dengan kad merah yang dilayangkan kepada rakan sepasukan saya, Ramirez pada minit ke-26 menyebabkan kami bermain dengan 10 orang.


Perjalanan pertama kali saya ke Surabaya agak menarik. Pemandangannya menarik dan perjalanan juga lancar.


Namun dalam kegembiraan itu saya juga berasa sedikit sedih dan rindu kepada keluarga yang terpaksa meninggalkan saya keseorangan di Jakarta ini kerana menghadiri persiapan majlis perkahwinan adik ipar saya di Kuching, 23 April ini.

Kalau sebelum ini saya merindui rakan-rakan dan penyokong saya, sekarang saya merindui anak dan isteri saya pula.

Namun, dalam kesedihan, saya tabahkan hati dan akhirnya mampu menjaringkan gol.

Setakat ini saya berpuas hati kerana berjaya membantu Pelita Jaya mengumpul mata selepas memulakan saingan bersama kelab baru ini dari kedudukan tercorot.
Saya sedar kehadiran saya mencetus harapan baru buat penyokong Pelita Jaya, tetapi pada masa sama saya masih perlu meningkatkan permainan supaya tidak menghampakan harapan mereka.

Sokongan padu yang saya terima di sini cukup mengharukan, malah ada segelintir peminat mahu saya menjadi pemain naturalisasi dan mewakili timnas Indonesia.

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Betapa jauh pun perjalanan saya, Harimau Malaya tetap di hati.

Seperti biasa, saya memohon semua rakyat Malaysia terutama penyokong agar mendoakan kejayaan saya di Jakarta ini dan saya terus dapat menjaringkan gol.

Saya juga tak sabar untuk pulang ke negara bagi menghadapi perlawanan Pra-Piala Dunia yang akan bermula hujung Jun ini. Pasukan negara tetap menjadi keutamaan saya.

Sekian, semoga berjumpa lagi. 


(Sumber: http://www.bharian.com.my/)