Hodgson percaya wibawa Torres

Saturday, April 16, 2011

LONDON - Pengurus West Bromwich, Roy Hodgson yakin penyerang baru Chelsea, Fernando Torres (gambar) pasti akan menemui sentuhan jaringannya meskipun masih kebuntuan gol setakat ini.

Torres merupakan penyerang yang diharapkan Hodgson ketika dia menjadi pengurus Liverpool sebelum penyerang Sepanyol itu berhijrah ke Chelsea pada penghujung Januari lalu manakala Hodgson dipecat sebelum diambil West Brom.


Selepas beraksi 11 perlawanan bersama Chelsea, Torres masih gagal menjaringkan sebarang gol.

Biarpun yakin Torres akan kembali menemui sentuhannya, Hodgson tetap berharap penyerang berusia 27 tahun itu tidak menembusi gawang West Brom ketika kedua-dua pasukan bertemu di Hawthorns malam ini.

"Prestasi Torres ketika ini tidak mengejutkan saya kerana dia sememangnya tidak berada pada prestasi terbaik sejak dari awal musim ini bersama Liverpool.

"Dia kemudian berhijrah ke Chelsea dan semua berharap dia terus meledak tetapi itu tidak berlaku. Tapi saya rasa dia tetap berusaha keras ke arah itu," kata Hodgson.

Pengurus West Brom itu turut menyatakan bahawa Chelsea akan tetap menuai hasil daripada pelaburan besar mereka ketika membeli Torres pada baki perlawanan musim ini.

"Kamu pasti akan dapat melihat Torres menjaringkan gol dan memberi sumbangan bermakna kepada Chelsea dalam beberapa perlawanan terakhir ini.

"Tapi saya lebih berharap Torres dapat menjaringkan beberapa gol sebelum kami bertemu Chelsea kerana tidaklah Torres mencari gol sulungnya ketika bertemu pasukan saya.

"Tapi saya tidak akan berasa iri hati jika Torres berjaya meledak satu gol ketika bertemu kami selagi kami pula berjaya mendapatkan dua gol dan menang," jelas Hodgson. - AFP


(Sumber: http://www.kosmo.com.my/)