Penyokong Gunners digesa tidak jual saham kepada pemilik baru

Tuesday, April 12, 2011
LONDON - Penyokong Arsenal yang mempunyai saham dalam kelab itu digesa tidak menjualnya kepada jutawan Amerika Syarikat, Stan Kroenke yang telah pun bersetuju dengan perjanjian mengambil alih kelab itu, minggu ini.

Arsenal Supporters Trust (AST) berkata, penyokong perlu mengekalkan kedudukan mereka untuk menjadi sebahagian daripada struktur pemilikan kelab itu.

"AST dan skim Pemilikan Saham Arsenal tidak harus menjual saham mereka dan menggesa semua penyokong untuk menolak tawaran yang dikemukakan.

"Arsenal terlalu penting untuk dimiliki oleh satu individu. AST mahu bekerjasama dengan Stan Kroenke dan mengekalkan pembabitan penyokong Arsenal dalam struktur pemilikan kelab," kata AST dalam kenyataan media.

Jutawan Kroenke, yang telah pun mempunyai pemilikan hampir 30 peratus dalam kelab itu berkata, dia menawarkan pemegang saham sebanyak 11,750 pound (RM58,029) sesaham dan telah memiliki jaminan sokongan pemegang saham, Danny Fiszman sebanyak 17 peratus dan Nina Bracewell-Smith sebanyak 16 peratus. - Reuters


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)