Chelsea buru empat teratas

Saturday, April 16, 2011
Selepas tiada peluang realistik untuk menjulang piala musim ini


LONDON: Fokus Chelsea tiba-tiba bertukar daripada mengejar kejuaraan kepada penentuan masa depan jurulatih Carlo Ancelotti sebaik tewas kepada Manchester United dalam Liga Juara-Juara, tempoh hari.

Kekalahan itu memberi tamparan buat pasukan kendalian Ancelotti yang kini tidak mempunyai peluang realistik untuk menjulang piala tahun ini, dan akan berkunjung untuk bertemu West Bromwich Albion dengan hanya sasaran mengejar tempat empat teratas Liga Perdana Inggeris.


Ketinggalan sebelas mata di belakang pendahulu United, meskipun kurang satu permainan Chelsea hanya mempunyai harapan terlalu tipis untuk mengekalkan kejuaraan yang dimenangi musim lalu. Memiliki perbezaan lima mata yang agak selesa daripada pasukan di tempat kelima Tottenham dengan hanya tinggal tujuh permainan, mereka hampir pasti dapat bermain dapat kelayakan Liga Juara-Juara musim depan.

Begitupun sama ada ia sudah mencukupi untuk menjamin kedudukan Ancelotti sebagai pengurus pasukan belum boleh dipastikan. Kegagalan memenangi sebarang piala menimbulkan suasana muram di Stamford Bridge tetapi penjaga gol Petr Cech mahukan kelab itu membuat sasaran baru untuk merebut tempat kedua liga.

“Memang mengecewakan apabila anda sebahagian daripada kelab besar tetapi tidak memenangi trofi, selepas menjulang dua kejuaraan musim lalu semua orang berfikiran kita mampu mempertahankannya. Kita memulakan musim dengan baik tetapi kemudian bertukar sukar, dan dalam Liga Juara-Juara kita bermain baik sehinggalah kepada dua perlawanan menentang Man United.

“Terdapat tujuh lagi perlawanan yang akan dilalui. Tujuh perlawanan itu akan membawa perbezaan besar, jika dapat mengutip banyak mata kita boleh menduduki tempat kedua,” kata Cech. - AFP


(Sumber: http://www.bharian.com.my)