Bebaskan saya: Fabregas

Friday, July 22, 2011

LONDON: Cesc Fabregas merayu penuh emosi kepada Arsene Wenger supaya membenarkannya menyertai Barcelona.

Pemain tengah Sepanyol berusia 24 tahun itu membuat pendedahan terbuka betapa dia mahu meninggalkan Arsenal dan terdesak memohon Wenger supaya tidak menghalang impiannya kembali ke Nou Camp.

Fabregas yang berbincang dengan Wenger minggu ini, yakin mereka mempunyai persefahaman dan pengurus itu tidak akan menghalang pemergiannya musim panas ini selepas enggan menjualnya tahun lalu.

Barcelona menghantar satu delegasi diketuai naib presiden, Josep Maria Bartomeu ke London kelmarin untuk cuba berunding mengenai perpindahan pemain itu dalam tempoh 48 jam ini dan mengelak ‘sebarang ketegangan lanjut’ berhubung rundingan itu.

Begitupun, Fabregas berusaha mencari jalan untuk meninggalkan kelab itu dengan menegaskan kepada Wenger bahawa dia mahu kembali ke kelab di mana dia memulakan kerjaya bola sepak zaman remajanya dan itu meletakkan Arsenal dalam situasi sukar.

Wenger bersimpati dengan Fabregas tetapi Arsenal mahukan bayaran perpindahan 40 juta pound (RM193.6 juta) – jauh lebih tinggi berbanding tawaran Barca.

Fabregas berharap Barcelona akan meningkatkan tawarannya tetapi dipercayai presiden kelab itu, Sandro Rosell keberatan memenuhi harga diminta Arsenal itu.

Wenger terdesak mahu mengekalkan Fabregas tetapi pada masa sama mempunyai tabiat tidak akan mengekalkan pemain yang tidak gembira dan berharap Barca sedia melengkapkan urus niaga perpindahan itu. – Agensi


(Sumber: http://www.bharian.com.my/)