Dalglish ramal tentangan sengit

Friday, July 15, 2011
 
Oleh FERZALFIE FAUZI

PETALING JAYA - Kunjungan pertama ke Malaysia memberi pengalaman baru dan ruang terbaik buat Liverpool untuk menguji pemainnya apabila berdepan Harimau Malaya pada aksi persahabatan sempena Siri Jelajah Asia kelab itu esok.

Menurut pengurus Reds, Kenny Dalglish perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil petang esok, memberi ruang buatnya melihat tahap kecergasan pemain selepas perlawanan di China mengalahkan Guandong Sunray Cave 4-3 kelmarin.

"Menentang skuad kebangsaan Malaysia penting kerana memberi ruang buat pemain memperbaiki kesilapan, seperti mana yang berlaku ketika bertemu Guandong apabila kami melepaskan gol di minit-minit akhir perlawanan

"Kami bangga untuk berkunjung ke sini dan terkejut dengan sambutan hangat oleh peminat tempatan. Apabila kami tiba di sini awal pagi ini, peminat sudah berkumpul di lapangan terbang dan juga di hotel.

"Saya pasti perlawanan di sini tentu menarik dan sengit, saya tidak sabar untuk pertemuan itu," kata Dalglish dalam sidang media di sini, semalam.

Jelas Dalglish, setakat ini dia amat berpuas hati dengan keseluruhan perjalanan jelajah pra-musim selepas buat pertama kali beraksi di China dan juga Malaysia yang mempunyai ramai penyokong Reds.

"Beraksi di Malaysia akan memberikan pemain satu pengalaman yang berguna buat pemain terutama sekali dari segi cuaca, saya berharap ia akan memberi kesan positif bagi saingan musim baru.

"Memang ia sukar untuk bersaing dalam EPL tetapi setidak-tidaknya pemain dapat menempuhi laluan musim depan dengan menggunakan persiapan pramusim ini sebagai langkah pertama.

"Ini adalah latihan yang baik buat kami, semua pemain yang mengikuti jelajah ini akan diberi peluang untuk beraksi. Ia amat penting untuk meneruskan perlawanan pra-musim," katanya.

Dalam masa yang sama Dalglish juga mengumumkan bahawa Liverpool telah diberi kebenaran untuk berbincang dengan pemain sayap antarabangsa England, Stewart Downing.


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)