Blues janji persembahan terbaik

Monday, July 18, 2011

KUALA LUMPUR - Bintang Chelsea, John Obi Mikel menyifatkan penyertaan Blues dalam Jelajah Asia lebih penting berbanding perlawanan persahabatan menentang kelab-kelab di Eropah.

Blues sebelum ini telah beraksi dalam dua perlawanan persahabatan pra-musim iaitu dengan menewaskan Wycombe 3-0 sebelum melakar kemenangan 1-0 ke atas Portsmouth.

Namun, pemain tengah itu berkata, perlawanan menentang pasukan dari Asia lebih banyak membawa manfaat kepada kelab itu dalam persiapan mereka untuk menghadapi pembukaan musim baru.

"Kami ada bermain dalam beberapa perlawanan persahabatan menentang Wycombe dan Portsmouth, tetapi saya fikir apa yang paling penting ialah perlawanan persahabatan ketika menyertai Jelajah Asia.

"Kami akan berada di Asia untuk tempoh yang panjang. Apa yang paling penting adalah apa yang telah pengurus lakukan sejak dia mengambil alih bagi menyatukan para pemain sebagai satu pasukan. Ini yang kami sedang usahakan dan saya rasa ia amat berbaloi.

"Ia amat bagus untuk semangat berpasukan apabila kami dapat bersama-sama menyertai jelajah ini. Ini yang pernah dilakukan Mourinho berbanding pengurus lain. Pengurus baru nampaknya memiliki beberapa idea segar yang boleh dimanfaatkan," kata pemain berusia 24 tahun itu.

Pemain Nigeria itu merupakan antara bintang-bintang Chelsea yang akan berkunjung ke Malaysia, hari ini dan mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad Malaysia pada 21 Julai di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Antara pemain Chelsea yang menyertai lawatan itu ialah Fernando Torres, Didier Drogba, John Terry dan Frank Lampard.


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)