Batista sandar sentuhan Messi

Tuesday, June 28, 2011

‘Faktor sorakan penyokong tempatan belum pasti dapat bantu Argentina’

BUENOS AIRES: Selaku tuan rumah kejuaraan Copa America, faktor sorakan penyokong belum pasti dapat membantu Argentina, sebaliknya sentuhan berbisa Lionel Messi dianggap boleh menjadi penentu kejayaan di halaman sendiri pada edisi kali ini bermula, Jumaat ini.
Pengurus pasukan, Sergio Batista yang menggantikan Diego Maradona selepas Piala Dunia berkata dia gembira dengan perkembangan pasukan dan menyuarakan rasa optimistik selepas pasukannya menewaskan Albania 4-0 dalam siri perlawanan persahabatan, baru-baru ini.

“Pasukan bermain baik dan saya gembira dengan perkembangan ini sebelum kejohanan bermula,” kata Batista yang amat berharap Messi dapat menterjemahkan aksi memukau sama ketika beraksi untuk Barcelona membantu pasukan kebangsaan pula.

Andai berada pada tahap minda dan fizikal yang baik, Messi mampu merencanakan jaringan untuk Argentina dan juga menjaringkan sendiri gol untuk pasukan.
Tambahan, Sergio Aguero dan Gonzalo Higuain yang memberi sokongan kepada Carlos Tevez dalam serangan harus tiada masalah meledakkan gawang lawan.

Argentina belum memenangi sebarang gelaran pada peringkat senior sejak edisi 1993 bawah pengendalian Alfio Basile dan selepas enam Copa - tidak termasuk lima Piala Dunia - kesabaran pada penyokong tampak sudah kian hilang.
Dengan Brazil memburu gelaran hatrik, Bastista dan anak didiknya berdepan ranjau perit dan mahu Messi menjadi penyelamat maruah di hadapan penyokong sendiri. - Agensi


(Sumber: http://www.bharian.com.my/)