Amaran Spurs taktik 'haram' Chelsea

Sunday, June 19, 2011

LONDON - Chelsea berdepan tindakan tegas dipotong mata jika didapati bersalah melamar Luka Modric secara haram.

Pengerusi Tottenham Hotspur, Daniel Levy yang berang dengan tindakan licik The Blues dijangka melaporkan kejadian itu kepada pihak pentadbir Liga Perdana (FA) England.

Dia sebelum ini pernah mengutus surat amaran kepada Chelsea supaya tidak mendekati Modric dan kini menuduh mereka cuba membuat bidaan secara terbuka terhadap pemain terbabit dengan niat untuk mengganggu.

Chelsea tidak asing lagi dengan pendekatan tidak sah yang diamalkan mereka untuk mendapatkan pemain yang dikehendaki kelab itu.

Pada 2005, mereka didenda 300,000 pound (RM1.5 juta) dan turut dipotong tiga mata oleh suruhanjaya bebas Liga Perdana yang ditubuhkan untuk menyiasat perpindahan Ashley Cole dari Arsenal ke Chelsea.

Chelsea juga didapati bersalah oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana cuba melamar Gael Kakuta secara tidak sah pada 2009.

Akibatnya, mereka dilarang terlibat dalam aktiviti perpindahan antarabangsa sebelum akhirnya dibebaskan daripada hukuman tersebut.

Spurs akan membangkitkan bersama dua kesalahan lampau Chelsea berkenaan dalam aduan kepada Liga Perdana.

Jika ditubuhkan lagi sebarang badan untuk membuka siasatan terhadap kelab milik Roman Abramovich, maka segala rekod kesalahan itu pastinya akan diambil kira.

Kelmarin, Modric membuat kenyataan mengejut apabila dia meluahkan hasrat untuk berhijrah ke Chelsea, biarpun baki kontraknya yang bernilai 42,000 pound seminggu masih tinggal lima tahun.

Difahamkan, Chelsea bersedia menawarkan kenaikan gaji sebanyak tiga kali ganda di Stamford Bridge. - AGENSI


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)