Barca pilihan terbaik Sanchez

Sunday, June 19, 2011
LONDON - Barcelona semakin hampir mengatasi Manchester United dalam perebutan ke atas bintang Udinese yang berharga £30 juta (RM148 juta), Alexis Sanchez.

Juara Liga Sepanyol dan Eropah itu bersaing dengan lima kelab lain, The Red Devils, Manchester City, Juventus dan Inter Milan bagi mendapatkan pemain sayap Chile itu

Namun Naib Presiden Barca, Josep Maria Bartomeu menjelaskan pasukannya kini memiliki kelebihan berbanding dengan kelab-kelab gergasi Eropah yang lain.

Dia berkata: "Kami kini sedang dalam perbincangan dengan Sanchez. Kami tahu dia seorang pemain yang berharga dan kerana sebab itu banyak kelab sedang memburu khidmatnya.

"Kami akan menyambung perbincangan dan lihat apa yang berlaku dalam masa beberapa hari lagi.

"Kami sangat optimis walaupun kami baru hanya di peringkat permulaan.

"Saya tidak boleh mendedahkan maklumat perbincangan kami atau mengenai kelab-kelab lain yang cuba mendapatkannya.

"Tetapi, kami sedar bahawa kami perlu mencapai kata sepakat dengan Udinese terlebih dahulu dan kemudian baru persetujuan dengan pemain."

Penasihat perpindahan Udinese, Stefano Antonelli mengesahkan Barca, United, City, Inter dan Juve semuanya telah mengemukakan tawaran ke atas pemain berusia 22 tahun itu.

Namun dia mengakui bahawa skuad kendalian Pep Guardiola itu adalah pilihan untuk melengkapkan permbelian Sanchez. - Agensi


(Sumber: http://www.kosmo.com.my/)