AS, Mexico rentap di final

Friday, June 24, 2011
Dempsey bantu mara buat kali keempat final Piala Emas CONCACAF


HOUSTON: Amerika Syarikat mara buat kali keempat final Piala Emas CONCACAF selepas jaringan kemenangan Clint Dempsey membantu tuan rumah itu menundukkan Panama 1-0 kelmarin.

Dempsey menyumbat gol pada minit ke-77 selepas menerima hantaran Landon Donovan sekali gus membalas dendam kekalahan 2-1 Amerika Syarikat kepada Panama dalam saingan peringkat kumpulan.
“Ini bukan aksi terbaik kami tetapi di akhirnya kami berjaya mendapatkan gol yang dicari bagi memenangi perlawanan ini,” kata Dempsey.

Amerika Syarikat akan membuat perhitungan menentang Mexico di Rose Bowl Los Angeles. Mexico mengesahkan tempat ke final selepas menewaskan Honduras 2-0 dalam satu lagi pertembungan separuh akhir.

Freddy Adu mencipta gerakan untuk jaringan kemenangan itu apabila membuat hantaran jauh kepada Donovan di Stadium Reliant.

Donovan, yang beraksi dalam perlawanan ke-27 berturut-turut dalam Piala Emas itu kemudian membuat hantaran tepat di depan pintu gol Panama yang disudahkan Dempsey.

“Kami tahu apabila kami beraksi baik kami adalah pasukan yang sukar ditewaskan,” kata Adu, 22.

“Saya fikir kami mempamerkan kualiti untuk mendapat keputusan yang dihajatkan,” kata Dempsey. - AFP


(Sumber: http://www.bharian.com.my/)