Malaysia: Tidak mustahil layak

Tuesday, June 21, 2011

JIKA skuad Olimpik negara mampu mengekalkan prestasi dipamerkan di Stadium Camille Chamoun Sports City kemarin, tidak mustahil impian melangkah ke peringkat kumpulan bagi merebut slot ke Olimpik London 2012 tercapai.

Ini kerana, anak didik Ong Kim Swee itu menunjukkan semangat juang tinggi mengikat pasukan Lubnan dengan keputusan seri tanpa jaringan pada pusingan kedua perlawanan pertama di Beirut.

Walaupun laluan pasukan negara jauh berliku, ia sekurang-kurangnya membakar semangat pemain menjelang pertembungan timbal balik di Stadium Bukit Jalil, 23 Jun ini.

Mengimbas kembali pertemuan itu, Malaysia seharusnya membawa bekalan selesa sekali gus memberikan keyakinan apabila beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong Harimau Malaya, Khamis ini.

Banyak peluang keemasan disia-siakan pemain negara terutamanya menerusi gandingan Wan Zack Haikal Wan Nor, Mohd Fandi Othman dan Izzaq Faris Ramlan yang sepatutnya menuai jaringan.

Jurulatihnya, Kim Swee seharusnya boleh memikirkan strategi baru bagi menghadapi Cedars yang dikendalikan jurulatih Samir Saad itu.

Beberapa kelemahan perlu diperbaiki skuad bimbingannya terutama melibatkan aspek taktikal seperti hantaran lintang perlu dipertajam kerana jelas kelihatan banyak pergerakan bola dihantar tidak sampai tepat kepada rakan sepasukan.

Penjaga gawang, Khairul Fahmi Che Mat juga jelas banyak ‘berehat’ selepas jarang diuji pemain tuan rumah kecuali beberapa percubaan yang nyaris membuatkan Harimau Malaya gigit jari.

Namun, pujian wajar diberikan buat seluruh pemain negara kerana bukan mudah mengikat pasukan dari Asia Barat itu selepas dikritik hebat sebelum ini gara-gara tumbang 1-0 kepada Kemboja termasuk dibelasah Qatar 0-4 pada aksi persahabatan.

Sebanyak 12 pasukan menang di pusingan kedua akan diundi ke peringkat kumpulan dan dibahagi kepada tiga kumpulan (empat pasukan dalam satu kumpulan).

Undian tersebut akan dilangsungkan di Kuala Lumpur pada 7 Julai ini.

Kali terakhir Malaysia layak ke temasya sukan terbesar itu di Olimpik Moscow 1980 selepas beraksi di Olimpik Munich 1972.


(http://www.sinarharian.com.my/)