Young Lions dimalukan

Monday, June 20, 2011
LONDON - Satu lagi musim panas tiba dan satu lagi episod duka buat bola sepak England.

Selepas 51 minggu skuad senior kebangsaan kendalian Fabio Capello dimalukan di Afrika Selatan tahun lalu, tiba giliran pasukan bawah 21 mereka mengalami nasib yang sama kelmarin apabila tersingkir daripada Kejohanan Eropah.

England perlu menang ke atas Republik Czech untuk mara ke separuh akhir kejohanan tersebut dan mereka seolah-olah hampir berjaya melaksanakan misi itu apabila Danny Welbeck meletakkan skuad Young Lions di depan menerusi tandukan pada minit ke-76.


Namun, Jan Chramosta memanfaatkan kesempatan daripada keadaan kucar kacir pertahanan England dengan menyamakan kedudukan 1-1 pada minit terakhir perlawanan.

Ketika skuad bimbingan Stuart Pearce tiada pilihan melainkan menyerang demi memburu gol kemenangan dan bekas pemain simpanan Tottenham, Tomas Pekhart muncul hero Czech apabila jaringannya pada masa kecederaan menamatkan sisa perjuangan England.

Pearce menegaskan, aksi hambar dua perlawanan terdahulu menjadi punca kegagalan England pada kejohanan itu.

"Mungkin cara kita bermain dalam dua perlawanan sebelum ini mengakibatkan kita pulang awal.

"Tiada siapa yang sedar betapa sukar kumpulan yang kita terpaksa harungi. Czech bangkit mencatat kemenangan ke atas kami biarpun tewas dalam perlawanan kedua dan melangkah ke separuh akhir.

"Keputusan itu menceritakan segala-galanya mengenai kumpulan maut ini," kata Pearce. - AGENSI


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)