Messi inspirasi kemenangan Argentina

Tuesday, June 21, 2011
BUENOS AIRES - Lionel Messi membuka gerakan dua jaringan gol sebelum dia sendiri menjaringkan satu gol ketika membantu Argentina menang 4-0 ke atas Albania pada perlawanan pemanas badan terakhir sebelum Copa America di Monumental, kelmarin.


Dalam perlawanan yang menyaksikan tuan rumah mengawal sepenuhnya permainan, pertahanan veteran, Javier Zanetti, mencipta rekod baru Argentina apabila dia mengutip cap ke-140 bersama skuad kebangsaan.

Penyerang, Ezequiel Lavezzi terlebih dahulu meletakkan tuan rumah Copa America itu di depan seawal minit kelima, dengan menewaskan penjaga gol lawan, Arjan Beqaj selepas menerima hantaran sempurna Messi.

Messi kemudiannya sekali lagi berganding dengan Lavezzi, namun tiba gilirannya meledak jaringan untuk menggandakan kedudukan pada minit ke-43.

"Lionel bermain dengan cemerlang, menghasilkan peluang jaringan dan dia juga menjaringkan gol.

"Seluruh pasukan juga bermain dengan bagus. Ada beberapa penyelarasan perlu dibuat kerana lawan kita tidak banyak menyerang dan jarang memegang bola.

"Namun saya gembira anak-anak buah saya mempamerkan aksi seperti mana mereka berlatih," kata jurulatih Sergio Batista, memuji Messi yang mengutip gol antarabangsa ke-17 dalam 57 penampilan.

Argenita mendapat gol ketiga pada minit ke-74 selepas Messi membuat satu lagi umpanan kemas untuk disempurnakan Sergio Aguero.

"Perlawanan seperti ini membantu kami membina keyakinan dan lebih memahami diri masing-masing," kata Lavezzi.

Pada minit terakhir permainan, Carlos Tevez yang dibawa masuk sebagai pemain gantian, tidak terlepas daripada senarai penjaring apabila dia menyudahkan hantaran Aguero.

Gol itu adalah ilham Messi, yang mengumpan tiga pemain pertahanan lawan meluru ke arahnya, sebelum dia melepaskan bola kepada Aguero untuk dihantar kepada Tevez, yang tidak mempersia-siakan peluang terhidang, menewaskan penjaga gol Albania dengan rembatan rendah. - Reuters


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)