Modric dedah keinginan ke Stamford Bridge

Sunday, June 19, 2011

LONDON - Luka Modric semalam mengejutkan Tottenham dengan mengisytiharkan: "Saya mahu menyertai Chelsea."

Spurs bertekad untuk mengekalkan perancang utama Croatia itu sekalipun terdapat minat yang tinggi dari dua buah kelab, Chelsea dan juara Liga Perdana England, Manchester United.
Bagaimanapun Modric menjelaskan, dia akan memberitahu pengerusi kelab, Daniel Levy untuk melepaskannya ke Stamford Bridge.

Pemain tengah berusia 25 tahun itu berkata: "Jika seseorang datang ke kelab dan mengemukakan tawaran yang bagus untuk diri saya serta munasabah buat mereka, maka saya mahu pergi.

"Chelsea adalah kelab besar dan pemiliknya pula seorang yang bercita-cita tinggi. Mereka memiliki ramai pemain hebat dan sentiasa memasang sasaran memburu kejuaraan liga serta memenangi Liga Juara-Juara. Lagipun, saya mahu kekal di London kerana saya gembira di sini, begitu juga keluarga saya."

Modric mempamerkan prestasi cemerlang musim lalu ketika membawa Spurs ke Liga Juara-Juara buat kali pertama.

Selain Chelsea, United turut berminat untuk mendapatkan pemain itu kerana Alex Ferguson mahu menambah kreativiti di bahagian tengah.

Bagaimanapun, Chelsea mengatasi Ferguson dengan mengemukakan tawaran rasmi 22 juta pound (RM109 juta), malah Modric berjaya membuat pemilik Chelsea, Roman Abramovich menaikkan tawaran selepas tawaran asal ditolak.

"Saya mahu meninggalkan Tottenham sebagai rakan baik. Saya gembira sepanjang musim di sana, tetapi sekarang adalah masa yang tepat untuk saya mencari kelab lain.

"Ketika menandatangani kontrak baru, saya ada membuat perjanjian dengan pengerusi, beliau kata, kalau ada kelab lain mahu membeli saya, mereka akan mempertimbangkan tawaran.

"Saya tidak akan minta untuk berpindah, tidak sama sekali kerana ia sama seperti tidak menghormati kelab, saya cuba harap mereka mencapai satu perjanjian yang memuaskan hati semua pihak.

"Saya tidak mahu berbalah dengan Tottenham. Penyokongnya sangat baik dengan saya, dan saya juga amat gembira sepanjang bersama mereka. Begitupun, ini adalah perkara biasa dalam bola sepak apabila pemain datang dan pergi, ia juga pernah berlaku kepada Tottenham sebelum ini.

"Juga perkara biasa buat pemain untuk mempunyai impian beraksi buat kelab yang lebih besar,'' katanya.

Meskipun Modric secara terbuka menyuarakan keinginan untuk meninggalkan White Hart Lane, namun Levy tetap bertegas bahawa bintang Tottenham itu tidak akan dijual. - Agensi


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)