United, City masih ada harapan dapat Sanchez

Tuesday, June 21, 2011

LONDON: Manchester City dan Manchester United mendapat harapan baru dalam usaha mereka menandatangani Alexis Sanchez selepas Udinese mendakwa pemain itu tidak akan menyertai kelab gergasi Sepanyol, Barcelona.

Pemilik Udinese, Gianpaolo Pozzo berkata, Barca masih belum memenuhi permintaan terhadap tawaran harga yang mereka berikan untuk Sanchez, selain turut meningkatkan tawaran awal mereka kepada 27 juta pound (RM132.81 juta)

City menegaskan mereka masih berpeluang mendapatkan bintang Chile itu yang kini berada di Amerika Selatan bagi persiapan menghadapi kejohanan Copa America di Argentina, bulan depan dan mengadakan rundingan terbaru dengan Udinese, kelmarin.

Kelab itu yakin mampu mengatasi pencabar lain untuk menandatangani Sanchez, walaupun pemain sayap itu lebih suka berpindah sama ada ke Nou Camp atau Old Trafford.

Pozzo berkata: “Kami masih jauh lagi daripada mencapai persetujuan. Sanchez masih lagi pemain Udinese.

“Barcelona mengemukakan lebih daripada satu tawaran. Nilai pasaran sebenar Sanchez ialah minimum 50 juta euro (RM217.45 juta), tetapi oleh kerana kami hanya sebuah kelab kecil tidak seperti Inter Milan atau Real Madrid, akhirnya kami mungkin terpaksa berpuas hati dengan bayaran yang lebih kecil.

“Marilah kita menganggap harga 50 juta euro itu masih boleh lagi ditawar. Anda hanya boleh berharap untuk mendapat harga yang bertepatan tetapi harga bertepatan itu belum tiba.

“Tawaran Barcelona bukan harga bertepatan dan semua orang tahu kemampuan - Barcelona dan semua kelab besar lain. - Agensi


(Sumber: http://www.bharian.com.my/)