Masa depan Ji-Sung samar

Tuesday, June 21, 2011
LONDON - Park Ji-sung menyuarakan ketidakpastian mengenai masa depannya di Old Trafford, dengan mengakui dia percaya tidak punya banyak masa lagi bersama Manchester United dan akan mempertimbangkan untuk berpindah ke kelab lain.

Ji-sung, 30, pernah memenangi Liga Juara-Juara Eropah dan empat gelaran Liga Perdana England sepanjang enam tahun bersama United. Kontraknya akan tamat musim depan dan ketika ini turut dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Sepanyol.

Sevilla dan Atletico Madrid antara pasukan yang dilaporkan berminat untuk mendapatkan bintang tengah Korea Selatan itu.

"Saya tidak mampu memberikan yang terbaik selepas satu atau dua tahun. Saya tidak tahu berapa lama lagi saya boleh kekal di Manchester.

"Saya tidak pernah terfikir tentang persaraan tetapi saya sedar bahawa saya tidak punya banyak masa untuk menjadi pemain. Jika melihat keadaan semasa, saya kena tinggalkan United dan bersara bersama pasukan lain,'' kata Ji-sung kepada akhbar Britain, Daily Mirror.

Ji-sung menjadi tonggak utama di Old Trafford dengan kerap menjadi pemain kepercayaan Alex Ferguson bagi menghadapi perlawanan besar. Dia mula menyertai United dari kelab Belanda, PSV Eindhoven pada 2005 selepas mempamer aksi cemerlang ketika mewakili Korea Selatan pada Piala Dunia 2002.

Terdahulu, pemain tengah antarabangsa Perancis, Lassana Diarra disebut-sebut bersedia untuk menyertai United dan menggantikan Ji-sung.

Pemain berusia 26 tahun itu sudah mendapat lampu hijau daripada pengurus Real Madrid, Jose Mourinho untuk meninggalkan gergasi bola sepak Sepanyol itu musim depan dan Ferguson dikatakan bersedia memberi peluang kepadanya kembali dalam kancah Liga Perdana. - Agensi


 (Sumber: http://www.utusan.com.my/)