‘Saya sedia terima padah’

Friday, June 24, 2011
Villas-Boas janji empat trofi untuk pemilik The Blues

LONDON: Andre Villas-Boas tampil membuat satu kenyataan yang harus memberi tekanan kepada diri sendiri.

Pengurus baru Chelsea berkata dia perlu mengetuai The Blues untuk memenangi empat gelaran bagi tujuan membuat pemilik kelab, Roman Abramovich gembira.

“Saya yakin dapat menyahut cabaran dilontar Chelsea dan kami akan memberi fokus kepada empat trofi yang harus kami menang untuk musim baru,’ kata pengendali berusia 33 tahun itu, semalam.

Villas-Boas sudah berjaya memenangi empat gelaran bersama FC Porto, musim lalu dan mahu mengulangi usaha itu dalam kancah Liga Perdana Inggeris yang lebih mencabar.

“Saya yakin peminat Stamford Bridge akan gembira dengan sasaran seperti ini.”

“Ini satu regim pimpinan baru, satu arah baru. Tapi saya berasa pada akhirnya ia adalah usaha memberi motivasi kepada semua bangkit menjuarai gelaran untuk kelab ini.”

Villas-Boas menandatangani kontrak tiga tahun bersama Chelsea dan mengerti statusnya bakal terancam andai gagal memenangi Liga Juara-Juara Eropah.

Carlo Ancelotti adalah mangsa terakhir disingkirkan pemilik dari Russia yang bergelar Red Rom itu - hanya setahun selepas pengendali berbangsa Itali itu memenangi kejuaraan berganda.

“Liga Juara-Juara tidak dimenangi oleh pasukan terbaik tetapi oleh pasukan yang bernasib baik,” kata Villas-Boas. - Agensi


(Sumber: http://www.bharian.com.my/)