Reds boleh lupakan 2011

Sunday, April 10, 2011
APABILA pemilik Liverpool, John W. Henry sendiri mengakui bahawa beliau mewarisi sebuah pasukan lemah dan kurang berbakat, ia menjelaskan betapa jutawan Amerika Syarikat itu sudah berputus harap dengan peluang mereka untuk menamatkan liga musim ini dengan sesuatu yang menggembirakan.


Suka atau tidak, peminat Reds perlu menerima hakikat bahawa peluang mereka untuk kembali dalam kancah elit Liga Juara-Juara Eropah musim hampir mustahil. Dengan saingan Liga Perdana England (EPL) kini berbaki tujuh perlawanan, Liverpool sekadar menghuni tangga keenam - 10 mata dipisahkan dari tiket Eropah.

Secara matematik, Kenny Dalglish dan anak-anak buahnya masih mampu menempatkan diri di kalangan empat pasukan terbaik pada hujung musim nanti, namun kekalahan terbaru 2-1 kepada kelab bimbingan bekas pengurus mereka, Roy Hodgson, West Bromwich Albion, minggu lalu merumitkan lagi keadaan.

Jika berjaya mengalahkan kelab tangga ketiga liga, Manchester City di gelanggang sendiri, Isnin depan, ia mungkin boleh memberi sedikit harapan tetapi tidak terlalu banyak membantu. Memang agak malang buat Reds kerana bekas pengurus mereka, Rafael Benitez gagal membina legasi yang mantap sepanjang enam tahun berada di Anfield.

Ia memang menyedihkan buat peminat Reds yang terpaksa melihat kelab yang sarat dengan sejarah kegemilangan itu sekadar bersaing dalam saingan saingan kelas kedua Eropah, Liga Europa untuk dua musim berturut-turut (mungkin akan menjadi tiga musim).

Namun apa yang paling penting, Henry sudah menyedari dan mengakui kelemahan yang wujud dalam pasukannya, dan bukan sekadar berpuas hati berkongsi sejarah lampau yang pernah dimiliki gergasi bola sepak England itu. Peminat Reds sepatutnya lega kerana pemilik mereka setuju untuk melakukan "operasi menyelamat".

Bagi musuh Reds atau lebih tepat lagi, mereka yang menggelar diri sebagai anti-Liverpool, boleh tersenyum sinis puas-puasnya sekarang kerana selepas ini, kelab yang memiliki jutaan peminat tetapi turut dihambat jutaan musuh ini sedia untuk melakukan transformasi bagi mengembalikan era gemilang mereka seperti sekitar 1990-an.

Liverpool, pemilik 18 kejuaraan EPL dan lima Piala Eropah ini bakal mengeluarkan pelaburan lebih besar - sesuatu yang sudah lama tidak dilakukan mereka ketika dimiliki oleh jutawan Amerika Syarikat, Tom Hicks dan George Gillett untuk menambah kualiti dalam pasukan dan kembali menjadi pencabar serius kejuaraan.

Jika Henry sebelum ini sanggup membelanjakan kesemua 50 juta pound (RM250 juta) hasil jualan penyerang Sepanyol, Fernando Torres ke Chelsea untuk membawa masuk Suarez dari Ajax dan Caroll dari Newcastle, bermakna beliau juga sedia mengeluarkan belanja besar untuk membawa lebih ramai pemain yang diinginkan.

Keinginan Henry menambah bintang di Anfield cukup membuktikan cita-cita besarnya mengembalikan Reds sebagai pasukan digeruni, musim depan.


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)

2 Komen:

  1. Ayie said...:

    bro.. takde button follower ke..??

  1. Ok, untuk anda Ayie kita follow up cerita Buffon.

    http://thegunnersmalaysia.blogspot.com/2011/04/sasaran-arsenal-gianluigi-buffon-tidak.html