Beckham tak kisah jadi penonton di Olimpik

Wednesday, June 15, 2011
LONDON: David Beckham amat berpuas hati biarpun sekadar menjadi penonton pada temasya Sukan Olimpik London tahun depan sekiranya tiada peranan buatnya dalam pasukan bola sepak Britain yang diselubungi kontroversi.

“Bola sepak akan menjadi acara penting Sukan Olimpik dan pasti menyeronokkan jika dapat menyaksikannya,” kata bekas bintang Manchester United yang kini beraksi bersama Los Angeles Galaxy.

“Ini kali pertama saya ke Olimpik dan mungkin akan ke sana bersama anak-anak.


“Sudah bertahun lamanya saya berada dalam dunia bola sepak dan menjadi sebahagian daripadanya adalah perkara yang sukar dipercayai.

“Kita lihat apakah peranan yang boleh saya lakukan menjelang Olimpik tapi saya akan ke sana sebagai peminat. “Saya mahu menyaksikan atlet seperti (atlet heptatlon Britain) Jessica Ennis dan penerjun Britain, Tom Daley, seorang atlet muda yang menjadi inspirasi anak muda seluruh dunia.

“Saya amat berbangga jika dapat membawa anak-anak ke Olimpik terutama di negara sendiri. Saya harap anak perempuan saya juga akan dapat dibawa bersama,” katanya.

Victoria Beckham dijangka melahirkan anak perempuan pertama pasangan itu bulan depan.

Beckham ditemui pada majlis pengumuman Gabriella Roseje, 18, dari Bermondsey, London, sebagai calon pertama untuk larian obor Olimpik. - AFP


(Sumber: http://www.hmetro.com.my/)