Nani buat pengakuan

Tuesday, June 14, 2011

LONDON - Pemain sayap Manchester United, Nani mengakui biarpun gembira untuk kekal di Old Trafford, namun dia berminat untuk berlatih di bawah jurulatih Real Madrid, Jose Mourinho pada satu peringkat dalam kariernya.

Pemain antarabangsa Portugal itu mengulangi pendiriannya bahawa dia seronok bersama United, namun pada masa yang sama gembira apabila mendapat tahu dia turut menarik minat naib juara La Liga, Real.

"Saya bagus di Manchester United, tetapi saya juga seronok mendengar bahawa ada kelab lain yang berminat dengan saya.

"Adakah saya mahu bekerja di bawah Mourinho? Sudah tentu, tetapi pada masa sekarang saya baik saja di Manchester United,'' katanya kepada media dalam satu kejohanan remaja di Seixal.

Pemain berusia 24 tahun itu menegaskan, dia kini sedang mengharungi musim terbaiknya di United sejak menyertai gergasi bola sepak England itu pada 2006.

Bagaimanapun, dia tidak menafikan kecewa kerana diketepikan daripada kesebelasan pasukan dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah bulan lalu, yang menyaksikan United kalah 1-3 kepada Barcelona.

"Musim ini adalah musim paling positif buat Manchester United, dan kempen individu terbaik dalam karier saya di sini.

"Begitupun, saya menamatkan cabaran dengan sedikit kekecewaan selepas tidak disenarai dalam kesebelasan pasukan pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara. Saya amat berharap dapat beraksi dari awal, tetapi semua terpulang kepada jurulatih untuk menentukan,'' ujar Nani.

Nani dikaitkan dengan Real sejak beberapa minggu ini, dan mungkin rakan senegaranya yang juga bekas bintang sayap United, Cristiano Ronaldo antara pemain yang melobi gergasi Sepanyol itu supaya membeli pemain tersebut.

Seorang lagi pemain Portugal yang turut menganggotai Real adalah tonggak pertahanan, Ricardo Carvalho yang pernah beraksi beraksi buat gergasi Liga Perdana, Chelsea. - Agensi


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)