Maaf City – Ronaldo

Wednesday, June 15, 2011

MADRID – Cristiano Ronaldo kelmarin memberitahu Manchester City ‘saya tidak akan menyertai kelab anda”.

Bintang Real Madrid itu menolak spekulasi mengenai perpindahan sensasi bernilai 150 juta pound (RM747 juta) ke Eastlands, biarpun laporan turut mengatakan dia dipancing dengan gaji luar biasa iaitu 21 juta pound (RM105 juta) setahun.

Ronaldo pada mulanya berjenaka mengenai tawaran gaji itu sebelum akhirnya menjelaskan jawapan sebenar.

“Baguskan begitu? Saya mungkin terpaksa mempertimbangkan semasak-masaknya tawaran sebaik itu.

“Saya tidak akan ke City, ingatlah kata-kata saya. Saya tidak akan pergi. Wang bukan perkara paling penting... bukan segala-galanya.

“Jika kerana wang, saya boleh meraih pendapatan berlipat ganda daripada apa dimiliki sekarang.

“Jika kerana wang, saya mungkin akan pergi. Namun apa yang lebih penting ialah saya dilayan dengan baik dan sangat gembira di Madrid sekarang,” tegasnya.

Ronaldo, 26, yang dibayar 13.5 juta pound setahun di Real, meledak 54 gol dalam semua pertandingan musim lalu, selain mencipta rekod jaringan baru dalam semusim.

Harga perpindahan rekod dunia 80 juta pound (RM398 juta) yang dibayar Real untuk membawa Ronaldo dari Old Trafford ke Santiago Bernabeu pada 2009 ternyata begitu berbaloi, menyaksikan penyerang Portugal itu menjaringkan 87 gol dalam 89 perlawanan.

Ronaldo, yang kontrak sedia ada masih berbaki empat tahun, turut menegaskan dia sanggup melanjutkan kontrak bersama gergasi Sepanyol itu untuk seumur hidup, demi menamatkan spekulasi penghijrahan ke City.

Bercakap kepada stesen radio Cope, tambahnya: “Saya tidak keberatan menandatangani kontrak 10 tahun untuk kekal di Madrid, sehingga tamat karier saya. Kenapa tidak saya tandatangan untuk seumur hidup?” - Agensi


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)