‘Real sudah melampau’

Saturday, June 18, 2011

MADRID: Perang mulut antara Barcelona dan Real Madrid semakin panas, kelmarin apabila Presiden Barca, Sandro Rosell menuduh pesaing kelab Catalan itu tidak mempunyai semangat kesukanan dan membidas jurulatih Real, Jose Mourinho.

Pertelingkahan memuncak antara dua kelab gergasi Sepanyol itu selepas bertarung empat perlawanan untuk tiga kejohanan dalam tempoh 18 hari musim lalu dan Rosell menggunakan sidang media penghujung musim untuk mengeluarkan kenyataan keras membidas Real.

“Kami percaya musim ini Real sudah melampaui batasan apabila membuat tuduhan ke atas kelab kami tanpa asas yang kukuh,” kata Rosell.

“Persaingan akan berterusan musim depan namun kami tidak akan membiarkan semangat kesukanan melepasi batasnya sekali lagi.

“Bola sepak memerlukan saingan bersih dan Barcelona akan melakukan semua langkah untuk memeliharanya.

“Jika perlu, kami akan mengambil tindakan undang-undang dan membawa kes kepada tribunal sukan yang relevan.” Real memberikan reaksi balas menerusi satu kenyataan dengan menyuarakan kekesalan mereka terhadap komen Rosell itu.

Menurut kenyataan itu, kenyataan Rosell itu didorong “tekanan sesetengah lembaga pengarah dan persekitaran media yang dipanggil sebagai satu sikap agresif terhadap kelab kami”.

“Untuk kebaikan bola sepak, Real akan berterusan mengekalkan hubungan sebaik mungkin dengan Barcelona seperti kebiasaan yang dilakukan dengan semua kelab di Eropah dan dunia,” kata kenyataan itu di www.realmadrid.com.


(Sumber: http://www.hmetro.com.my/)