Ronaldo cakap besar

Sunday, June 12, 2011

LONDON – Cristiano Ronaldo memberitahu Manchester City perlu berbelanja besar jika berhajat mendapatkan khidmatnya.

Menurut laporan Mirror Sport, bintang Real Madrid itu bercakap besar kepada rakannya bahawa dia diminati oleh pemilik kelab yang berpangkalan di Abu Dhabi, Sheikh Mansour dalam usaha jutawan tersebut menjadikan City sebagai sebuah kelab No. 1.

Ronaldo memberitahu, seseorang yang mempunyai kaitan dengan keluarga Sheikh telah menghubunginya secara tidak formal dan mengemukakan tawaran lumayan dalam usaha untuk memancing bekas hero Manchester United itu berpindah ke Eastlands.

Ronaldo dikatakan menuntut bayaran tidak masuk akal, jika dia kembali beraksi di England.

Bintang Portugal itu memaklumkan kepada temannya bahawa dia mahukan 400,000 pound (RM1.96 juta) seminggu.

Bintang penyerang berusia 26 tahun itu turut mendakwa, City sanggup membayar Real hampir seratus peratus keuntungan iaitu sebanyak 80 juta pound (RM391 juta) yang dibelanjakan oleh kelab Sepanyol itu belanjakan ketika memberi Ronaldo daripada United, dua tahun lalu.

Malah, Ronaldo percaya City sanggup membayarnya 350,000 seminggu (RM1.71 juta), namun pemain tersebut telah menuntut sebanyak 400,000 pound seminggu.

Sumber berkata: “Cristiano memberitahu dia telah dihubungi oleh wakil kelab tersebut. Katanya dia berasa amat terharu dengan tawaran yang sanggup mereka kemukakan.

“Pemain itu juga mendakwa, kelab tersebut sanggup membayarnya dengan jumlah yang lumayan jika dia mahu bermain untuk Manchester City.

“Dia berkata, dia mahu 400,000 pound seminggu kerana bayaran cukai di England amat tinggi.”

Ronaldo turut mendakwa diundang ke Abu Dhabi. Namun enggan ke negara Arab itu, tetapi sumber menambah, Ronaldo mahu menjadi kapten dan menyarung jersi No. 7. - Agensi


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)