Jangan cuba aib

Friday, June 17, 2011
 Oleh Sukhairi Abd Thani

FAM kesal semangat juang tulen anak jati Malaysia dikaitkan dengan rasuah

PASUKAN Harimau Malaya dan skuad Olimpik kebangsaan bebas daripada segala kegiatan rasuah!

Itu kenyataan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad dan Naib Presidennya, Datuk Subahan Kamal yang ‘naik angin’ apabila tersiar laporan mengatakan kedua-dua pasukan bola sepak negara itu terbabit dengan gejala tidak bermoral itu.

Subahan yang juga pengurus pasukan kebangsaan berkata, pemain sudah membuktikan kemampuan mereka di peringkat antarabangsa apabila menjulang Piala AFF Suzuki dan itu sudah cukup dijadikan bukti skuad muda negara berhabis-habisan untuk menang.

“Pemain kita bermain atas semangat kenegaraan dan sama sekali bukan pasal rasuah. Mereka inilah sandaran yang akan membawa obor perjuangan dalam kelayakan Piala Dunia nanti. Jangan cuba aibkan pasukan Harimau Malaya dan Olimpik kerana perjuangan mereka terlalu tinggi nilainya.

“Saya harapkan pemain tidak putus asa, ini lumrah hidup dan teruskan misi untuk menjadi juara yang dikagumi bukan saja di AFF tetapi juga membawa pulang banyak lagi piala ke tanah air.

“Kerana itu, buktikanlah bahawa kita bukan kaki rasuah tetapi bermain atas semangat anak jati Malaysia,” katanya selepas sidang media jelajah Asia 2011 Arsenal di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, semalam.

Sementara itu, Azzuddin turut kesal dengan laporan akhbar itu dan berkata, sehingga kini tiada sebarang laporan polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat berkaitan pemain kebangsaan.

“Ini bukan masanya untuk pertikaikan kewibawaan pemain. Saya hanya kata ada aduan dibuat dan maksud saya adalah dalam pasukan Piala Presiden Negeri Sembilan dan T-Team yang mana mereka ini sudah pun dihadapkan ke mahkamah.

“Sekiranya ada, saya terlebih dulu perlu mempersembahkan kepada Tuanku Presiden (Sultan Ahmad Shah) dan selepas itu kepada exco. Jadi saya kesal sekali dengan laporan itu,” katanya.


(Sumber: http://www.bharian.com.my/)