United mahu rampas Sanchez dari City

Wednesday, June 15, 2011
 
LONDON - Manchester United dilaporkan semakin hampir untuk menewaskan Manchester City dalam perebutan bagi mendapatkan khidmat pemain sayap Udinese, Alexis Sanchez.

Ketua eksekutif United, David Gill telah berlepas ke Itali dengan misi untuk melengkapkan pembelian pemain berharga £27 juta (RM134 juta) yang menjadi rebutan itu.

Sekiranya Gill berjaya mengatasi City, Barcelona dan beberapa kelab gergasi Eropah lain dalam pembelian tersebut, ia bakal menyaksikan perbelanjaan Alex Ferguson pada musim perpindahan ini mencecah £82 juta (RM407 juta).

Gill telah berjumpa dengan Presiden Udinese, Gino Pozzo untuk melengkapkan perjanjian tersebut.

Berita ini sudah pasti dianggap sebagai satu tamparan buat City kerana mereka percaya tawaran lumayan yang dibuat kelab itu berjaya memancing pemain Chile berusia 22 tahun tersebut.

Begitupun, ejennya, Fernando Felicevich berkata: "Satu perjanjian dengan City? Masa depan Sanchez masih lagi terbuka luas.

"Kami masih lagi sedang berusaha dan selepas perjumpaan dengan City, kami sudah ada beberapa lagi temujanji."

Juara Liga Perdana England 19 kali itu semakin yakin untuk mendapatkan pemain tersebut meskipun tawaran mereka itu kurang £4 juta (RM20 juta) dari apa yang diminta oleh kelabnya.

Namun, mereka masih perlu menaikkan jumlah tawaran sekiranya mahu mengatasi usaha Barca dan City.

Ferguson telah pun berjaya mendapatkan pemain sayap England, Ashley Young dari Aston Villa, pertahanan Blackburn, Phil Jones dan penjaga gol Atletico Madrid, David de Gea dengan jumlah keseluruhan £55 juta (RM273 juta). - Agensi


(Sumber: http://www.kosmo.com.my/)