Pemain 'Invincible' Arsenal antara barisan tersingkir

Friday, June 17, 2011

LONDON - Nama-nama seperti Patrick Vieira, Owen Hargreaves, Matthew Upson dan Jonathan Woodgate mengetuai senarai pemain yang dilepaskan kelab masing-masing untuk saingan Liga Perdana England musim depan.

Badan pengendali liga terulung di England itu semalam mengeluarkan senarai pemain yang dibebaskan kelab masing-masing pada musim panas ini.

Usia akhirnya menjadi penghalang buat Viera yang akan mencecah 35 tahun pada minggu depan apabila namanya bersama-sama Javier Garrido dan Shaleum Logan dilepaskan oleh Manchester City.

Hargreaves gagal bertahan lama bersama Manchester United selepas dihantui masalah kecederaan, sekali gus menyebabkan dia beraksi 11 minit sepanjang dua musim terakhirnya di Old Trafford.

Woodgate pula berdepan masalah kecederaan serupa dengan Hargreaves dan hanya membuat empat penampilan bersama Tottenham dalam dua musim terakhir.

Sementara itu, tidak menjadi kejutan lagi apabila tiga pasukan yang tersingkir ke saingan Liga Kejuaraan musim depan iaitu Birmingham City, West Ham dan Blackpool, melepaskan sejumlah 32 pemain.

Birmingham melepaskan sedozen pemain mereka seperti Lee Bowyer, Sebastian Larsson, James McFadden, Kevin Phillips dan Maik Taylor untuk perpindahan percuma ke kelab lain.

Upson pula mengetuai senarai pemain yang dilepaskan West Ham termasuk juga Danny Gabbidon, Lars Jacobsen dan Jonathan Spector.

Pemain tengah Blackpool, David Vaughan menolak tawaran kontrak baharu untuk menyertai 11 lagi rakan sepasukannya yang akan meninggalkan Bloomfield Road.

Dalam masa yang sama, Aston Villa melepaskan John Carew, Robert Pires dan Nigel ReoCoker, manakala Blackburn Rovers membebaskan Jason Brown dan Benjani Mwaruwari.

Bolton Wanderers pula melepaskan Johan Elmander, Ricardo Gardner dan Jlloyd Samuel.

Pemain-pemain lain yang boleh menyertai kelab baru secara percuma ialah Iain Turner, Zoltan Gera, diomansy Kamara, John Pantsil, Sol Campbell, Eidur Gudjohnsen, Ibrahima Sonko, Bolo Zenden dan Abdoulaye Meite. - Agensi


(Sumber: http://www.kosmo.com.my/)