Karier Ballack berakhir

Friday, June 17, 2011

BERLIN - Karier antarabangsa Michael Ballack bersama skuad kebangsaan Jerman kini sudah berakhir.

Semalam, jurulatih Jerman, Joachim Loew memberitahu, pemain tengah Bayer Leverkusen itu sudah tidak ada dalam perancangan masa depannya.

Ini kerana Loew lebih yakin dengan persembahan mantap yang dipamerkan barisan pemain muda Jerman.

"Beberapa bulan lalu, barisan pemain muda kami (Jerman) berjaya mencuri perhatian dengan persembahan yang dipamerkan dan kini mereka menjadi prospek utama untuk kami melakar lebih ba- nyak kejayaan pada masa depan.

"Selepas beberapa kali berbual menerusi telefon dengan Ballack, ini adalah masa yang terbaik untuk saya menjelaskan situasi sebenar sebelum berlangsung kempen Euro 2012," kata Loew.

Ballack yang telah membuat 98 penampilan dan menjaringkan 42 gol sejak menyarung jersi Jerman pada 1999, tidak beraksi sejak mengalami masalah kecederaan buku lali pada Mac lalu.

Tambah Loew, beliau sudah banyak kali memberitahu Ballack yang sehingga kini masih dianggap sebagai kapten Jerman bahawa kehadiran pemain-pemain muda adalah suatu petanda positif dalam memastikan lebih banyak kejayaan dicapai pada masa akan datang.

"Dalam perbincangan kami, Ballack menunjukkan bahawa dia memahami apa yang saya jelaskan.

"Jadi, tidak ada masalah untuk dia menerima keputusan ini dan yang lebih penting, dia sudah jelas dengan situasi sebenar," tambah Loew. - Reuters


(Sumber : http://www.kosmo.com.my/)