Wira Piala FA terima RM10,000

Wednesday, June 15, 2011

Oleh: RADHUAN HUSSAIN

KUALA TERENGGANU – Pemain dan pegawai skuad bola sepak Terengganu yang menjulang Piala FA Sabtu lalu dan atlet yang memenangi pingat pada Sukan Malaysia XIV, bakal menerima ‘durian runtuh’ daripada kerajaan negeri.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said pada majlis meraikan wira-wira Piala FA dan atlet Sukan Malaysia XIV di Dataran Shahbandar di sini, semalam yang disaksikan lebih 7,000 orang.

Ahmad berkata, bagi skuad Penyu, setiap pemain dan pegawai akan menerima RM10,000.

Katanya, insentif itu akan diagihkan kepada mereka sebagai wang saku sewaktu melawat London nanti.

Lawatan ke London itu jelasnya, sebagai hadiah kerajaan negeri di atas kejayaan pasukan tersebut menjuarai Piala FA buat kali kedua selepas 2000.

“Kita akan serahkan kepada persatuan berkenaan (PBSNT) untuk mengatur jadual lawatan skuad bola sepak Terengganu ke London.

“Semasa lawatan itu, pasukan dijangka mengadakan perlawanan persahabatan dengan dua kelab bola sepak Divisyen Dua di sana,” katanya.

Manakala bagi kontinjen Terengganu yang menjuarai Sukan Malaysia XIV, Ahmad berkata, atlet yang memenangi setiap pingat emas bakal menerima RM5,000 diikuti RM3,000 (perak) dan RM2,000 (gangsa).

“Kita bersyukur kerana Terengganu berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi juara berganda, Piala FA dan Sukma.

“Bagi Piala FA, ini kali kedua kita jadi juara dan Sukan Malaysia juara tiga kali berturut-turut,” ujarnya.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat; Datuk Bandar Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT), Datuk Adzlan Mohd. Dagang; Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh dan Ketua Kontinjen Sukma Terengganu, Datuk Wan Ahmad Wan Muda.


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)