Liga bola sepak wanita bermula tahun hadapan

Wednesday, June 15, 2011
Oleh YATIMIN ABDULLAH

SEBAGAI langkah memperkasakan bola sepak wanita, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan memperkenalkan liga bola sepak wanita mulai tahun hadapan.

Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa berkata, keputusan untuk mewujudkan liga berkenaan telah diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa bola sepak wanita kebangsaan yang dipengerusikannya beberapa hari lalu.


Menurut beliau, liga bola sepak itu akan menjadi medan terbaik buat FAM memilih pemain yang bakal menyarung jersi pasukan wanita kebangsaan bagi menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa.

"Inilah platfrom terbaik buat kita untuk mencari bakat-bakat baru yang boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

"Selain itu, perjalanan sistem liga bola sepak wanita ini hampir menyamai format Liga Malaysia yang sedang dijalankan sekarang. Saya yakin dan percaya liga ini bakal mendapat sambutan daripada pasukan setiap negeri," katanya di Kota Bharu semalam.

Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak Wanita FAM memberitahu, pihaknya akan menganjurkan satu karnival bola sepak wanita peringkat kebangsaan pada 23 Julai ini.

Katanya, karnival tersebut bertujuan memilih barisan pemain yang akan menyarung jersi kebangsaan pada satu kejohanan anjuran Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) di Laos, Oktober ini.

"Kita ada masa beberapa bulan lagi untuk menyiapkan pasukan wanita kebangsaan ini dan karnival bola sepak wanita ini juga akan menjadi landasan untuk memilih pemain ke sana," ujarnya.

Sementara itu, Annuar berkata, FIFA juga telah mengeluarkan satu peraturan bahawa dalam sesebuah negara tidak harus ada dua badan induk yang menguruskan bola sepak.

"Peraturan ini terpakai kepada semua ahli gabungan badan induk bola sepak dunia itu. Sekiranya berlaku, FIFA boleh mengambil tindakan. Oleh itu Persatuan Bola Sepak Wanita Malaysia (PBSWM) perlu dibubarkan dan ahli jawatankausanya akan diserapkan ke Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM.

"Sehubungan itu, satu kongres akan diadakan dalam masa terdekat dan FAM berharap kongres mengambil keputusan muktamad untuk membubarkan PBSWM. Kita berharap ia dapat melonjakkan lagi perkembangan sukan bola sepak wanita di negara ini," jelasnya.


(Sumber: http://www.kosmo.com.my/)