Salah faham

Tuesday, June 14, 2011

LONDON: Penyerang Arsenal, Robin van Persie menafikan dia menuduh pemain Liga Perdana Inggeris tidak profesional.

Van Persie dipetik mendakwa beberapa pemain Inggeris yang namanya tidak disebut terlalu suka berfoya-foya dan berparti sehingga menjejaskan karier mereka.

Pemain berusia 27 tahun itu bagaimanapun menafikan mengeluarkan komen itu menerusi laman Twitter miliknya semalam.

“Saya mahu menjelaskan sesuatu. Saya dikatakan membuat komen mengenai gaya hidup pemain Inggeris. Kenyataan yang saya berikan sudah disalah erti,” katanya.

“Apa yang saya katakan adalah, jika anda mengawal gaya hidup anda, anda boleh menikmati karier lebih panjang. Saya tidak menyebut pemain Inggeris.

“Siapa saya untuk membuat penilaian. Liga Perdana hebat, sama juga dengan pemain yang bermain dalam liga itu!.” Ini kali kedua dalam seminggu Van Persie menafikan kenyataan yang dikaitkan dengan dirinya.

Minggu lalu, Van Persie mengeluarkan kenyataan dilapor media Belanda bahawa dia mengkritik cara permainan pemain dari kelab lain seperti Chelsea dan Barcelona.

“Laporan itu tidak betul kerana saya dikatakan membuat komen negatif terhadap pemain Sepanyol dan Chelsea. Saya ingin tegaskan tidak mengadakan temuramah dengan Sport 1 atau dengan media lain baru-baru ini,” katanya.

“Saya menghormati rakan-rakan dari Sepanyol dan Chelsea dan berharap dapat beraksi menentang mereka selepas ini. Saya harap peminat bola sepak seluruh dunia tidak terpengaruh dengan laporan tidak tepat ini.” - Agensi


(Sumber: http://www.hmetro.com.my/)