Higuain berlatih ambil alih tugas Messi

Wednesday, June 15, 2011

BUENOS AIRES: Gonzalo Higuain akan memainkan peranan Lionel Messi dalam latihan sebagai persiapan pasukan Argentina sekiranya penyerang Barcelona itu tidak beraksi, kata jurulatih Sergio Batista, kelmarin.

Messi adalah pilihan utama untuk mengisi penyerang tengah berdasarkan taktik Batista bagi menghadapi Copa Amerika bulan depan walaupun jurulatih itu mempunyai penyerang klasik dalam pasukannya seperti Higuain dari Real Madrid dan Diego Milito yang beraksi bersama Inter Milan.

“Ideanya adalah siapa yang boleh menggantikan tempat Messi. Kami mempunyai nombor sembilan seperti Higuain, kami melatihnya tidak terhad untuk ‘kawasan nombor sembilan’,” kata Batista dalam sidang media di pusat latihan Argentina di luar bandaraya itu.

Argentina memulakan persiapan menjadi tuan rumah kejohanan itu yang bermula 1 Julai ini apabila dijadualkan menentang Bolivia dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A di La Plata. Kumpulan itu juga dianggotai Colombia dan Costa Rica. - Reuters 


(Sumber: http://www.bharian.com.my/)