Amaran Kuyt

Friday, July 15, 2011

Oleh Aziman Rosdi

“SECARA jujurnya, saya tidak tahu sangat mengenai pasukan Malaysia, cuma saya berharap dapat menewaskan mereka 4-0,” kata tonggak Liverpool, Dirk Kuyt.

Mungkin kata-kata bintang Belanda itu hanya sekadar berseloroh tapi untuk skuad Harimau Malaya, ia bolehlah dianggap sebagai satu peringatan supaya kekalahan 4-0 kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal dalam perlawanan persahabatan kelmarin tidak berulang.

Kuyt yang ditemui pemberita pada sidang media Jelajah Asia membabitkan kelab juara lima kali Eropah itu sebaik tiba di Kuala Lumpur, semalam turut melahirkan rasa teruja bertandang ke negara ini buat kali pertama dan tidak sabar menguji kemampuan skuad bimbingan Datuk K Rajagobal di Stadium Nasional Bukit Jalil, petang esok.

“Kedatangan kami ke Asia penting kerana mempunyai ramai peminat di sini. Sebelum ini kami berada di China dan sambutan peminat di sana begitu menakjubkan. Peminat di sini juga tidak kurang hebatnya, saya lihat ramai peminat menanti kami di hotel,” katanya sambil merujuk kepada ratusan peminat yang menanti di pintu lif hotel penginapan mereka, menanti bintang Liverpool turun menghadiri sidang media.

Pada sidang media itu, Kuyt turut ditemani pertahanan Daniel Agger dan pengurus Kenny Dalglish manakala ketua jurulatih Malaysia, Datuk K Rajagobal dan kapten Mohd Safiq Rahim menjadi wakil kem negara.

Bagaimanapun sedikit mengecewakan buat peminat The Reds kerana kapten, Steven Gerrard, Luis Suarez, Glen Johnson dan Peipe Reina tidak turut serta dalam kunjungan pertama ke Kuala Lumpur ini.

Gerrard terpaksa diketepikan bagi meneruskan rawatan untuk kembali pulih daripada kecederaan manakala Suarez mempunyai komitmen bersama Uruguay dalam kejohanan Copa America yang sedang berlangsung di Argentina.

“Gerrard selaku kapten Liverpool begitu penting untuk kelab dan penyokong pasukan ini, tapi dia mengalami kecederaan. Sememangnya kami mengharapkan Gerrard dapat bersama dalam jelajah ini tapi adalah lebih baik dia mendapat rawatan supaya sembuh semula bagi menghadapi saingan musim depan,” kata Kuyt yang meledak 13 gol untuk Liverpool musim lalu.

Sementara itu, Dalglish yang menyuntik semangat baru kepada kelab itu sebaik dilantik pada awal tahun ini berharap dapat membentuk pasukan mantap menerusi jelajah pra musim ini bagi mengembalikan kegemilangan Liverpool yang sekadar menamatkan saingan di tangga keenam musim lalu.

“Perlawanan ini memberi peluang kepada pemain untuk kembali cergas dan ia memang penting untuk persiapan kami bagi menghadapi musim depan. Sememangnya kami berdepan cabaran hebat untuk memenangi trofi tapi apa yang perlu dilakukan adalah terus mencuba,” katanya.

Sebelum tiba di Malaysia, 'King Kenny' bersama 26 pemain singgah di China bagi mengadakan perlawanan persahabatan menentang Guangdong Sunray Cave yang menyaksikan The Reds menang tipis 4-3.


(Sumber: http://www.hmetro.com.my/)